SKOP
8 Panduan Penting Elak Bil Telefon Jemaah Haji Melambung Tinggi
Musim haji sudah tiba dan kali ini seramai 30,200 jemaah haji dari Malaysia menyahut seruan ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima.
Apa yang menarik perhatian, senario jemaah haji dari Malaysia pada masa kini bagaimanapun agak berbeza dengan jemaah haji kita beberapa tahun lalu kerana majoriti mereka kini memiliki telefon pintar.
Jika sebelum ini sukar untuk ahli keluarga di Malaysia menerima perkhabaran tentang jemaah haji, kini mereka boleh berhubung saban hari sama ada melalui pesanan ringkas mahupun panggilan video.
FAHAMI MAKLUMAT DATA PERAYAUAN ANTARABANGSA
Perkhidmatan perayauan antarabangsa yang ditawarkan oleh pelbagai syarikat telekomunikasi yang membolehkan jemaah haji negara ini membuat panggilan dan menghantar berita terkini tentang mereka kepada ahli keluarga masing-masing dari Tanah Suci.
Mereka hanya perlu menggunakan aplikasi media sosial seperti 'WhatsApp' dan sebagainya yang terdapat di telefon pintar masing-masing.
Namun, adakah mereka mengetahui bagaimana panggilan suara dan data perayauan antarabangsa berfungsi serta jumlah caj penggunaan yang akan dikenakan ke atas mereka.
Justeru, adalah wajar untuk jemaah haji tahu tentang penggunaan telefon pintar secara pintar ketika berada jauh dengan ahli keluarga untuk mengelakkan bil bayaran telefon mereka melambung tinggi.
796 ADUAN BERHUBUNG CAJ TELEKOMUNASI PERAYAUAN
Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Megat Ishak Maamunor Rashid berkata, terdapat peningkatan ketara berhubung aduan perayauan antarabangsa sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, CFM menerima sebanyak 796 aduan mengenai caj panggilan suara dan data perayauan dari tahun 2012 sehingga Julai 2017. Pada tahun 2012 sebanyak 49 aduan diterima diikuti 2013 (85), 2014 (87), 2015 (90), 2016 (384) manakala bagi tahun ini, dari Januari sehingga Julai lalu (101).
PANDUAN BUAT PANGGILAN/PENGGUNAAN DATA UNTUK JEMAAH HAJI
Sehubungan itu, CFM berkongsi panduan untuk jemaah haji Malaysia agar dapat terus berhubung dengan orang tersayang walaupun berada di Tanah Suci tanpa dikenakan caj berlebihan.
1. Rujuk penyedia perkhidmatan
Sebelum memulakan perjalanan ke luar negara untuk memastikan jemaah haji mendapat maklumat tepat mengenai caj yang akan dikenakan, sila rujuk dahulu dengan operator penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang digunakan. Jemaah haji tidak akan dikecualikan daripada membayar caj tersebut walaupun mengatakan anda benar-benar tidak tahu.
2. Buat salinan
Penting agar jemaah haji membuat salinan maklumat semua kenalan dan data penting dalam telefon sebelum meninggalkan Malaysia sebagai langkah keselamatan sekiranya kehilangan telefon ketika berada di sana. Jemaah haji juga boleh memuat naik maklumat penting ini dan menyimpannya di dalam storan atas talian untuk capaian mudah dari mana-mana sahaja
3. Elak guna dua kad sim dalam satu telefon bimbit
Jemaah haji tidak digalakkan menggunakan cara ini jika tidak biasa dengan 'tetapan' telefon yang perlu diubah. Gunakan telefon bimbit lain bagi setiap kad sim. Jemaah haji juga disarankan agar membawa telefon bimbit kedua bagi penggunaan kad sim tempatan untuk menerima atau membuat panggilan penting ketika berada di Tanah Suci manakala telefon pintar sendiri boleh digunakan untuk sambungan Wi-Fi sahaja.
4. Beli kad sim antarabangsa di Malaysia
Jemaah haji boleh membeli kad sim antarabangsa yang dijual di Malaysia melalui atas talian atau di lapangan terbang. Terdapat kad sim antarabangsa dijual di Malaysia yang mungkin mempunyai pakej yang dapat memenuhi keperluan anda selain dapat mengurangkan kerumitan jemaah haji untuk mendaftar kad sim semasa di luar negara.
5. Dapatkan kad sim tempatan sebaik tiba di Arab Saudi
Sebagai alternatif untuk mendapatkan pilihan yang lebih murah Lakukan sedikit kajian mengenai pelan yang disediakan di sana. Pilih pakej kad sim yang terbaik serta sesuai dengan penggunaan jemaah haji sepanjang berada di sana.
6. Nyahaktifkan 'Sambungan Automatik ke Rangkaian'
Kebanyakan penyedia perkhidmatan di Malaysia mempunyai rakan perayauan antarabangsa di semua negara yang anda lawati dan biasanya mereka menyediakan pakej khas kadar rata bagi panggilan suara dan data apabila anda disambungkan kepada mereka. Nyahaktifkan dan pastikan anda sentiasa disambungkan kepada rakan perayauan penyedia perkhidmatan anda untuk menikmati pakej khas ini.
7. Tukar mod 'kapal terbang' dan gunakan Wi-Fi
Jika anda ingin terus berhubung hanya menggunakan Wi-Fi, jemaah haji boleh memilih untuk menukar mod telefon pintar mereka ke mod 'kapal terbang' dan menggunakan Wi-Fi awam yang boleh dapati di sana.
8. Guna Aplikasi 'WhatsApp Call' atau 'video call'
Adanya Wi-Fi, gunakan aplikasi seperti 'WhatsApp' ketika menerima panggilan atau kiriman mesej semasa berada di luar negara. Ia lebih mudah dan menjimatkan daripada dikenakan sebarang caj lain yang boleh melambung tinggi tanpa disedari.