“We all float down here, and you will, too!”

Begitulah antara dialog dari filem 'It' yang begitu meninggalkan kesan di fikiran para penonton, baik tempatan mahupun luar negara.

Filem terbaru yang diadaptasi daripada novel seram karya penulis lagenda Stephen King itu mendapat sambutan hangat di serata dunia dengan kutipan sebanyak AS$123.4 juta (RM516.99 juta) pada tiga hari pertama tayanganya di Amerika Syarikat (AS). Filem itu juga berjaya mengungguli carta tempatan menggalahkan filem lain seperti 'American Assassin' dan juga karya tempatan seperti Abang Long Fadil 2.

Bagaimanapun, disebalik kejayaan yang dikecapi oleh 'It', sebuah industri perkhidmatan yang lain nampaknya mengalami kemerosotan pendapatan akibat daripada filem tersebut. Sudah pastilah industri yang dimaksudkan merupakan dunia badut professional!


BADUT ADALAH MANUSIA MENYERONOKKAN

Pasti ramai yang sudah mengetahui bahawa watak utama di dalam cerita 'It' adalah Pennywise, sebuah makhluk jahat yang menyerupai badut. Dia menimbulkan huru-hara di sebuah pekan yang diberi nama Derry dengan menculik ramai kanak-kanak di kawasan tersebut.

Mengikut laporan Business Insider, filem tersebut begitu meninggal kesan sehinggakan kanak-kanak sehingga menjadi trauma apabila melihat badut. Ada dalam kalangan ibu bapa juga sudah tidak mahu mengupah badut untuk hadir di majlis keraian seperti sambutan hari lahir anak-anak mereka akibat kesan filem 'It'.

Bagi John Nelson yang merupakan seorang badut professional di AS, dia terkesan selepas banyak tawaran mengadakan persembahan dalam beberapa minggu terakhir ini dibatalkan akibat daripada watak Pennywise yang menyeramkan tersebut.

Bagaimanapun, dia yang juga menguruskan syarikat badut Clowns in Town bersama dengan seorang rakannya bertindak balas!

Dia menganjurkan suatu perhimpunan aman di luar pawagam Union Square Regal di New York City, AS bagi menunjukkan bahawa badut sebenarnya adalah manusia yang ceria dan menyeronokkan.

“Harapan kami adalah untuk menimbulkan kesedaran yang mencukupi supaya apabila orang ramai sebut pasal badut, mereka tidak akan bayangkan seorang pembunuh yang kejam tetapi sebaliknya seorang yang berdedikasi penuh dalam memberikan keseronokan pada semua.

“Pada minggu lepas sahaja, saya bersama rakan kongsi mendapat enam pembatalan perkhidmatan untuk majlis hari jadi. Saya mendengar cerita daripada rakan-rakan badut di New York dan bandar-bandar lain bahawa mereka juga mengalamai nasib yang sama,” katanya kepada pihak berita NBC News 4.

Keadaan ini sangat merunsingkan pihak badut professional kerana mereka tidak menerima sebarang bayaran deposit sebaliknya hanya mendapat bayaran apabila tiba di majlis yang dijanjikan. Sebarang pembatalan akan mengakibatkan sumber pendapatan mereka terjejas.

Walaupun populariti sesebuah filem mampu memberikan impak yang positif terhadap sesuatu industri, sepertimana filem trilogi 'Lord of the Rings' membantu menaikkan industri pelancongan di New Zealand, kesan yang sebaliknya juga mampu berlaku.

Apabila filem 'Jaws' arahan Steven Speilberg mula ditayangkan pada tahun 1975, ianya telah meninggalkan kesan yang tidak diingini terhadap industri pelancongan. Filem yang mengisahkan tentang serangan ikan jerung itu telah menyebabkan orang ramai takut untuk berenang di laut dan menghabiskan masa di kawasan pantai. Nampaknya kini filem 'It' juga menimbulkan kegusaran yang tidak diingini dalam kalangan orang ramai.


KISAH BADUT MENYERAMKAN BERNAMA PENNYWISE

Watak Pennywise adalah badut yang mampu merubah rupa bentuknya mengikut perasaan takut dan fobia seseorang.


Watak Pennywise mula sekali muncul di dalam novel seram 'It' karya penulis lagenda Stephen King. Watak tersebut juga dikenali sebagai 'Pennywise the Dancing Clown' dan 'Bob Gray'. Kebiasaannya, dia akan muncul sebagai seorang badut tetapi Pennywise juga mampu merubah rupa bentuknya mengikut perasaan takut dan fobia seseorang.

Mengikut satu temuramah di dalam buku 'Bad Clowns', King menyatakan dia mendapat ilham mencipta watak Pennywise setelah bertanya kepada dirinya sendiri, apakah yang menakutkan kanak-kanak melebihi semua benda lain yang ada di dunia ini?.

Novel 'It' mula diterbitkan pada tahun 1986 dan mendapat sambutan yang menggalakan. Ianya juga memenangi British Fantasy Award pada tahun 1987 dan mendapat pencalonan anugerah lain seperti Locus dan World Fantasy Awards.

Bagaimanapun, populariti kisah 'It' dan Pennywise melonjak naik dengan lebih mendadak lagi setelah terbitnya telefilem 'It' pada tahun 1990. Filem tersebut mendapat sambutan hangat dan membuatkan ramai yang tidak mampu tidur lena akibat kisah seramnnya. Tim Curry yang melakonkan watak Pennywise mendapat pujian ramai menerusi lakonan mantapnya itu.

Kini, menerusi filem baru pada tahun 2017, populariti kisah seram tersebut mula kembali mendapat perhatian. Adakah Bill Skarsgard yang melakonkan watak Pennywise dan Andy Muschietti yang mengarahkan filem tersebut mampu menjadikan versi 'It' paling popular?


BADUT DAN KESAN PSIKOLOGI

Dari sudut psikologi, rasa takut dan fobia terhadap badut diberi nama 'coulrophobia'. Antara simptom yang mungkin timbul termasuk rasa mual, berpeluh, ketakutan yang amat sangat, degupan jantung yang tinggi, menangis atau menjerit dan marah.

Pada tahun 2008, University of Sheffield telah menjalankan suatu kajian terhadap 250 orang kanak-kanak dan mendapati bahawa badut merupakan sesuatu yang amat menakutkan bagi mereka yang berusia di antara empat sehingga 16 tahun.

Mengikut Dr Penny Curtis yang terbabit dalam kajian tersebut: “Kami dapati bahawa badut sememangnya tidak disukai oleh kanak-kanak. Ada yang merasakan badut sangat menyeramkan dan mengandungi unsur yang tidak diketahui”.

Menurut pakar psikologi, rasa takut terhadap badut ini mungkin berpunca dari rasa tidak senang dalam diri seseorang terhadap penampilan dan rupa seorang badut yang janggal dan aneh. Mereka tertanya-tanya: “Badan bersaiz seperti manusia biasa tetapi muka yang berconteng, kasut gergasi, baju yang berwarna-warni tetapi apa yang di sebalik semua itu?”


AWAK NI SERAM LAH!

Selain daripada Pennywise, terdapat juga beberapa badut lain menyeramkan yang pernah muncul di dalam filem antaranya Killer Klowns From Outer Space, Drive Thru, Scary or Die dan Gacy.

Namun, ada satu lagi badut yang cukup terkenal tetapi menyeramkan iaitu Ronald McDonald. Ya, badut yang kami maksudkan adalah maskot bagi rangkaian restoran makanan segera terkenal McDonald’s.



Versi yang kami maksudkan bukanlah versi badut yang anda kenal sekarang, sebaliknya, versi Ronald McDonald yang menyeramkan adalah watak yang muncul di dalam iklan TV pada tahun 1950-an.

Jadi anda pula bagaimana, adakah anda juga mempunyai rasa takut terhadap badut? Bagaimana pula dengan filem terbaru “It”, sudahkah anda menontonnya dan adakah ia seram atau biasa saja?