Tahun lalu Malaysia mencatatkan kadar kemalangan jalan raya tertinggi iaitu sebanyak 521,466 kemalangan. Jumlah terbabit amat tinggi jika dibandingkan dengan kadar yang dicatatkan 10 tahun lalu iaitu hanya 363,319 kemalangan.

Daripada jumlah kemalangan ini, 151,253 insiden sebenarnya berlaku di sekitar Selangor. Jauh lebih tinggi jika dibandingkan di Johor iaitu 73,116 dan Pulau Pinang 42,244 kemalangan.

Pelbagai faktor yang mengakibatkan kemalangan jalan raya dan salah satunya pasti berpunca daripada struktur jalan terbabit.

Namun, tahukah anda mukim Ampang, Selangor disifatkan sebagai kawasan yang berisiko tinggi apabila diklasifikasikan sebagai daerah yang paling banyak mempunyai cerun?

352 CERUN DI AMPANG

Kawasan yang cerun sememangnya berbahaya jika dipandu laju.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengarah Jabatan Kejuruteraan, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ir Zafrul Fazry Mohd Fauzi, daripada 600 lokasi yang terletak di Ampang, 352 diklasifikasikan sebagai kawasan cerun.

MPAJ mengklasifikasikan 116 cerun daripada 352 cerun di Ampang sebagai sangat berbahaya, 47 cerun bahaya dan 189 cerun kurang bahaya. Kesemua cerun ini pula terbahagi kepada tiga jenis iaitu cerun semula jadi, buatan dan batuan.

“Kawasan yang mempunyai banyak cerun adalah di sekitar DUN Hulu Klang meliputi Taman Melawati sehingga Ukay Perdana,” katanya kepada Harian Metro.

KEPADATAN PENDUDUK PUNCA CERUN BERTAMBAH

Seperti yang dinyatakan tadi, selain cerun semula jadi, laluan bahaya ini juga terhasil daripada cerun buatan.

Penghasilan cerun ini dipercayai berpunca daripada jumlah penduduk yang semakin meningkat dari masa ke semasa. Sehingga kini jumlah penduduk sekitar mukim Ampang dianggarkan 800,000 orang dan mungkin bertambah dari tahun ke tahun.

Tanah rata kebanyakannya sudah diteroka dan disebabkan itu, banyak kawasan perumahan baru dibuka di Ampang khususnya di kawasan tinggi.

Dengan jumlah cerun yang banyak ini, MPAJ menyatakan pihaknya menggunakan teknik ‘wire netting’ dan ‘rock bolting’ bagi mengukuhkan semula permukaan batu di lereng cerun batuan.

Hasil penggunaan ini, tahap bahaya cerun dapat dikurangkan. Anda tidak perlu terlalu bimbang sebaliknya harus sentiasas berhati-hati ketika menuruni cerun ini untuk mengelakkan kemalangan nahas.