SKOP
Anda Boleh Mandul Sebab Sabun Antibakteria!
Ada pelbagai sabun antibakteria di pasaran. Harganya juga berbeza-beza dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan orang ramai sebagai pengguna. Ramai memilih menggunakan sabun antibakteria kerana ia dianggap lebih berkesan bagi menghilangkan kuman pada badan.
Mereka yakin sabun mengandungi `unsur' antibakteria lebih berkesan untuk membersihkan anggota badan berbanding sabun biasa. Tanpa mereka sedari, terdapat dakwaan sebilangan sabun antibakteria menggunakan bahan antibakteria berbahaya sebagai kandungan utama.
Bahan kimia itu antaranya triclosan yang didakwa berpotensi menjejaskan kesihatan manusia serta merosakkan alam sekitar. Hal ini sebenarnya sudah lama didedahkan sejak berbelas tahun lalu tetapi entah mengapa ia kurang mendapat perhatian masyarakat.
Bagaimanapun, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam satu kenyataan baru-baru ini membangkitkan semula isu tersebut.
SEJARAH PENGGUNAAN TRICLOSAN
Presiden CAP, S.M. Mohamed berkata, bahan antibakteria Triclosan pada asalnya digunakan pada zaman 1970-an oleh pakar bedah. Ia digunakan untuk mencuci tangan sebelum melakukan pembedahan bagi mengurangkan atau mencegah pencemaran bakteria.
Kegunaannya kemudian dikembangkan secara komersial dalam sabun, ubat gigi, pakaian, peralatan dapur, perabot, alat mainan dan lain-lain.
Menurutnya, memang benar triclosan terbukti berkesan dalam mencegah jangkitan yang berlaku di hospital. Namun, tiada sebarang data menunjukkan manfaat kesihatan tambahan jika menggunakan sabun yang mengandungi bahan antibakteria itu.
Malah, beliau mendakwa satu kajian mendapati mereka yang menggunakan produk antibakteria itu tidak mempunyai risiko lebih rendah ke atas penyakit berjangkit.
SABUN ANTIBAKTERIA SAMA SEPERTI SABUN BIASA?
Rojak Daily Skop! melakukan rujukan sendiri di Internet untuk mendapatkan kepastian dakwaan tersebut dan mendapati pandangan CAP itu selari dengan kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Korea, Seoul, Korea Selatan.
Menurut ketua penyelidik kajian itu, Dr Min-Suk Rhee, kandungan utama yang ada pada sabun antibakteria ialah sejenis bahan kimia iaitu triclosan.
"Kandungan triclosan pada sabun antibakteria adalah 0.03 peratus lebih tinggi berbanding sabun biasa. Jumlah itu tidak menghilangkan kuman lebih banyak berbanding sabun lain," katanya dalam 'Journal of Antimicrobial Chemotherapy'.
BAHAYA TRICLOSAN KEPADA KESIHATAN
Daripada sudut kesihatan, S.M. Mohamed mendakwa bahan antibakteria triclosan boleh menjejaskan aturan tiroid, testosterone dan estrogen.
Ia boleh menyebabkan permasalahan akil baligh awal, sperma kurang berkualiti, kemandulan, obesiti dan kanser. Bahan itu juga didakwa boleh menjejaskan pembelajaran dan memori, alahan dan melemahkan otot.
Ia juga didakwa boleh memberi kesan kepada pembesaran janin, bayi dan kanak-kanak. Namun, terdapat pelbagai produk lain termasuk ubat gigi, cucian tangan, gel mandian dan syampu badan kanak-kanak didakwa mengandungi triclosan.
"Kami menemui pelbagai produk lain mengandungi triclosan seperti bahan pencuci lantai dan tandas yang mempunyai ciri antibakteria," katanya.
HARAMKAN BAHAN ANTIBAKTERIA
Sehubungan itu, S.M. Mohamed menggesa pihak berkuasa mengharamkan terus penggunaan bahan antibakteria triclosan dalam produk pengguna.
Pengeluaran, pengimportan, pengedaran dan penjualan produk yang mengandungi bahan kimia itu turut diminta dilarang di negara ini.
"Kajian turut mengesan triclosan dalam alam sekitar. Ia ditemui dalam air, tanah termasuk ikan. Pencemaran triclosan meningkatkan kemungkinan bakteria yang terdedah kepadanya mengembangkan kekebalan yang seterusnya boleh menjejaskan kesihatan manusia," katanya.
CARA MUDAH LINDUNGI DIRI DARIPADA BAKTERIA
Berikut cara mudah melindungi diri tanpa menggunakan produk antibakteria:
- Cuci tangan dengan kerap dan teliti. Menyabun tangan merendahkan permukaan tegangan air, membantu melekat dan menyingkirkan bakteria yang tidak diingini.
- Sabun tangan sambil menggosok sekurang-kurangnya selama 10-15 saat kemudian bilas dengan air suam.
- Tangan perlu dicuci dengan kerap terutama ketika mengendalikan makanan, sebelum makan, selepas ke tandas atau apabila terdapat seseorang yang sakit di dalam rumah.
- Lap tangan dengan tuala bersih untuk menyingkirkan segala kuman yang masih ada.
- Cuci permukaan yang terkena makanan dengan sabun dan air.
- Cuci tangan dan barang permainan kanak-kanak dengan kerap untuk mencegah jangkitan.