Saigon atau kini lebih dikenali sebagai bandar Ho Chi Minh yang terletak di Vietnam sememangnya terkenal sebagai destinasi popular di Asia Tenggara.

Selain terkenal dengan sejarah perangnya, budaya yang hampir sama dengan rumpun Malaysia dan Indonesia menjadikan ia antara pilihan pelancong kita.

Tidak dinafikan terdapat pelbagai destinasi popular di sana. Namun, jika anda menerokai Saigon, anda disarankan singgah di sebuah apartmen lama yang dikenali sebagai The Cafe Apartment.

Ia boleh menjadi destinasi wajib pergi buat pelancong ke sana. Malah, anda mungkin tidak mempunyai banyak masa lagi untuk singgah di tempat menarik seperti ini!

Rojak Daily Skop! kongsikan 3 sebab mengapa anda perlu melancong ke destinasi popular ini:

1. BANGUNAN IKONIK ABAD KE-20

Tangga atau lif? Anda pilih.
Kisah mengenai kafe ini menjadi tular di media sosial selepas seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Intan berkongsi pengalamannya berkunjung ke bangunan klasik tersebut.

Lokasi apartmen ini terletak di 42 Nguyen Hue, Ben Nghe, District 1, Ho Chi Minh, Vietnam. Menurut Intan, anda perlu membayar 3,000 Vietnamese Dong (20 sen) untuk menggunakan lif. Saranan terbaik adalah menggunakan tangga kerana anda dapat melihat seni bina bangunan berkenaan.

Difahamkan, lif terbabit dikenakan caj bayaran berikutan ia diselenggara oleh pihak luar dan bukan kepunyaan bangunan berkenaan. Jadi, jika anda dikenakan bayaran, jangan pula melatah.

Untuk makluman anda, apartmen ini dibina pada abad ke-20 dan ia pernah menjadi rumah pengawai tentera darat dan laut pada tahun 1975.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu apartmen ini sudah dinaik taraf dan berubah wajah dengan kemunculan kafe hipster, butik fesyen dan laman pejabat yang serba ‘cool’.

2. SETIAP TINGKAT ADA KEUNIKAN TERSENDIRI

Pemandangan daripada luar bangunan.
Untuk pengetahuan pengunjung, premis ini mempunyai 9 tingkat keseluruhannya manakala setiap tingkat mempunyai ciri keunikannya tersendiri.

Menurut laman sesawang vietnamcoracle, bahagian bawah sesuai untuk mereka yang mencari buku atau majalah lama. Jika anda berada di tingkat bawah, terdapat Fahasa Bookstore untuk singgah sebelum naik ke tingkat atas.

Bagi tingkat satu sehingga empat, anda berpeluang memasuki beberapa butik pakaian dan salon kecantikan yang dibuka dalam bangunan tersebut. Hanya satu dua saja kafe ada pada tingkat ini.

Paling popular adalah di tingkat empat yang mana menjadi kafe wajib anda perlu masuk.

Kafe terbabit dikenali sebagai Partea yang menampilkan hidangan teh berkonsepkan ‘English’. Ini dapat dilihat menerusi dekorasi dalaman sehingga hidangan teh yang dihidangkan kepada pengunjung.

Jika ingin melihat pemandangan hampir seluruh bandar Saigon, anda bolehlah terus naik ke tingkat lapan atau sembilan kerana di situ anda boleh mengambil gambar dengan lebih jelas.

3. BAKAL TUTUP?

Terdapat ura-ura mengatakan premis di bangunan ini akan berpindah.
Berdasarkan informasi seorang daripada penduduk di sana, bangunan terbabit berkemungkinan ditutup dalam tempoh akan datang.

Menurut lelaki berkenaan, kebarangkalian untuk bangunan itu ditutup sangat tinggi kerana ia terletak di tengah-tengah bandar. Kesemua premis yang beroperasi berkemungkinan akan berpindah ke lokasi yang lain.

Bagaimanapun, keputusan itu masih samar-samar. Namun, tidak mustahil boleh berlaku memandangkan tempoh usia bangunan berkenaan yang sudah lama.

Oleh demikian, kepada anda yang mungkin mempunyai perancangan untuk ke Vietnam, mungkin boleh singgah ke apartmen ini.