Nampak gayanya populariti Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semakin mencanak.

Tidak cukup dengan banting yang memaparkan wajahnya dicabut oleh seorang makcik, kini dia menjadi rebutan peniaga-peniaga di sekitar Muar.

Malah, beliau mungkin sudah boleh mula menambah satu lagi portfolio iaitu sebagai model. Buktinya apabila kebanyakan gerai jualan di bazar telah menggunakan wajahnya serta namanya.

#1 NASI TOMATO HARAPAN

Bagaimanalah rasa nasi tomato ini ya.
Tidak pasti lokasi gerai jualan ini, namun ia berkemungkin di sekitar kawasan Muar. Nasi tomato ini digelar sebagai Nasi Tomato Harapan.

Apa yang menarik perhatian adalah reaksi Syed Saddiq sendiri yang tergamam melihat menu nasi berkenaan. Kreatif dan pada masa sama sangat 'on point'.

2# AYAM PERCIK SYED SADDIQ

Menu wajib apabila berkunjung ke bazar.
Sedap sampai tak terkata! Itu slogan gerai jualan ayam percik ini.

Sekali imbas seolah tertulis Syed Sado, mungkin penggunaan 'typeface' atau penglihatan penulis yang tidak beberapa jelas.

Namun, persoalannya apa hubung kait ayam percik ini dengan Syed Saddiq? Hanya peniaga ini saja yang tahu.

#3 AIR BUAH FRESH SYED SADDIQ

Hilang dahaga peminat YB.
Melihat gaya rekaan bunting ini, mungkin ada dua perkara boleh diterjemahkan. Sama ada Syed Saddiq pemilik gerai ini atau beliau adalah duta air ini.

Apapun pujian diberikan kepada mereka yang menghasilkan bunting ini. Gambar 'posing' yang sangat ngam! Air pilihan Syed Saddiq!

#4 CADAR SYED SADDIQ

Nyenyak tidur anda, kiri kanan ada YB.

Produk keempat ini direka khusus untuk kaum wanita di luar sana. Namun, jika ada lelaki berminat, dipersilakan.

Apa yang menarik mengenai cadar Syed Saddiq ini ia didatangkan dengan pakej dua sarung bantal. Kiri Syed Saddiq, kanan pun Syed Saddiq.

Ada juga netizen yang menganggap cadar untuk mereka yang 'forever alone'.

RESPON SYED SADDIQ

Kesemua gambar ini sebenarnya telah pun sampai ke pengetahuan Syed Saddiq sendiri. Malah dalam entri Facebook rasminya, beliau berseloroh untuk mengenakan caj kerana menggunakan gambar dan namanya sebagai tujuan promosi.

​Malah beliau turut mendoakan semoga rezeki peniaga ini bertambah.