Skip to main content

Market Trends

Anugerah Pengubah Digital Di Malaysia Milik Astro!

banner-astro.jpg

Komited dalam projek transformasi digital dengan meraih hampir 7 juta pengunjung unik merentasi 40 jenama digital yang beroperasi secara aktif di laman sesawang dan aplikasi mudah alih bukanlah suatu perkara yang mudah untuk diperolehi.

Malah, pencapaian memberangsangkan ini melayakkan Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) diumumkan sebagai penerima anugerah ‘Pengubah Digital di Malaysia’ atau ‘Digital Transformer in Malaysia’ oleh International Data Corporation (IDC) ASEAN, semalam.

Pengiktirafan itu bersempena dengan Anugerah Transformasi Digital (IDC DX Awards) yang julung kalinya diadakan pada tahun ini sebagai mengiktiraf organisasi di seluruh Asia Pasifik yang mempamerkan kejayaan dalam usaha-usaha mereka menerapkan transformasi digital dalam perniagaan atau operasi harian.
 

TEMBUSI 72 PERATUS ISI RUMAH

Ketika ini Astro berjaya menembusi 72 peratus isi rumah di Malaysia selepas hampir 20 tahun menawarkan perkhidmatan. Astro juga telah melancarkan beberapa jenama pengguna digital seperti aplikasi perhubungan telefon pintar (OTT), Astro GO dan Tribe; perkhidmatan e-dagang, Go Shop; portal hiburan nombor satu di Malaysia, Gempak dan peneraju laman berita digital, Awani.
 
“Astro akan terus mengguna pakai teknologi pembawa perubahan seperti digital, atas talian dan mudah alih untuk menyokong teras syarikat yang menjadikan pengguna sebagai keutamaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Datuk Rohana Rozhan.
 
Selain daripada jenama pengguna digital, Astro tidak ketinggalan dalam menerapkan tranformasi digital pada keseluruhan organisasi. Astro turut menumpukan dalam aspek pembangunan perisian komputer, kecerdasan buatan (AI), analisis data, pembuatan video, teknologi pengiklanan dan e-dagang.

Tumpuan ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, mengoptimumkan kos perkhidmatan dan menambah baik pengalaman pembabitan dalam saluran omni dan meningkatkan pengalaman peribadi.
 

DOMINASI RATUSAN PENYERTAAN
 
Projek transformasi digital Astro dipilih antara ratusan penyertaan yang dihantar oleh organisasi-organisasi pengguna-akhir (end-user) dari pelbagai industri di Asia Pasifik.

Kemenangan ini berjaya melayakkan Astro ke pusingan akhir IDC DX Awards peringkat serantau yang mana kesemua pemenang dari negara yang bertanding akan dinilai untuk menjadi yang terbaik di Asia Pasifik.
 
Menurut Pengarah Penyelidikan IDC Malaysia, Pranabesh Nath, salah satu langkah untuk menentukan kejayaan sesebuah transformasi digital adalah keupayaan untuk menggambarkan di mana sesebuah syarikat itu akan berada di masa hadapan dan bagaimana teknologi digital dapat diguna pakai untuk mencapai wawasan tersebut.
 
Astro berjaya menarik perhatian para juri dengan skop perniagaan yang bersifat inklusif merangkumi aspek-aspek dalaman dan luaran yang menentukan kejayaan sesebuah transformasi, sejajar dengan matlamat syarikat untuk menjadi peneraju segmen pasaran.
 

Topik Berkaitan

Must-Watch Video