Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Skop

Apa Nasib Wanita Hamil Luar Nikah?

Eiylla Syaharith 23/05/2017 | 09:39 MYT
Masalah sosial membabitkan anak luar nikah termasuk isu buang bayi memang sukar dibendung tanpa wujud kesedaran dalam diri individu itu sendiri dan sikap mengambil berat masyarakat sekeliling.

Jika perkara ini terus berlaku, jalan penyelesaian iaitu dengan cara membantu golongan ini sangat penting agar tidak melakukan perbuatan membuang bayi atau membunuh diri.

Mengikut jumlah perangkaan terbaru seramai 234 wanita diberi jagaan di tiga pusat perlindungan di Pulau Pinang sejak tahun 2012 hingga 2016.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng berkata, seramai 23 wanita mengandung luar nikah ditempatkan di Pusat Perlindungan Wanita Darul Sakinah manakala 132 wanita lagi yang berdepan masalah sama ditempatkan di Majlis Kebajikan Wanita sehingga bayi mereka selamat dilahirkan.

"Turut dilindungi 79 wanita dan 67 kanak-kanak yang merupakan anak atau jagaan kepada mangsa-mangsa keganasan domestik, masalah rumahtangga, serangan seksual dan masalah perhubungan ditempatkan di Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang (WCC)," katanya ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar di Dewan Undangan Negeri, Pulau Pinang, hari ini.

Chong Eng yang juga ADUN Padang Lalang menyatakan WCC turut menyediakan perkhidmatan kaunseling melalui telefon dan emel serta One Stop Crisis Centre' (OSCC) di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya.

"Pusat Perlindungan Wanita Darul Sakinah di bawah kendalian Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan dua lagi pusat pelindungan wanita dibawah seliaan Majlis Kebajikan Wanita Pulau Pinang (Rumah Pelindungan Sosial) dan WCC," katanya.

#Masalah Sosial
;