Bila sembang pasal urut yang paling 'best', ramai yang memilih urutan Thai atau Bali kerana teknik urutan dan aroma yang menyenangkan. Namun, tidak ramai yang tahu kita sendiri mempunyai urutan terbaik yang dikenali urutan Malaysia.

Meskipun urutan Malaysia agak asing jika dibandingkan dengan urutan Thai, Bali, Jawa dan lain-lain tetapi itulah keunikkan sebenar urutan tradisi yang boleh dibanggakan rakyat Malaysia apabila bakal menjadi salah satu produk pelancongan baru negara.

Apa itu urutan Malaysia?

Keunikkan urutan Malaysia sebenarnya gabungan pelbagai etnik kaum yang ada di Malaysia dimana seni urutan tradisi kaum masing-masing digabungkan menjadi satu elemen terbaru dalam kemahiran urutan di semua institusi spa di seluruh negara.

Menariknya, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mahu memartabatkan dan menjenamakan urutan Malaysia sebagai produk pelancongan baru negara dan memperkenalkan sehingga ke peringkat global.

Dalam menyambut usaha dan saranan kerajaan, Teratak Spa tampil memperkenalkan latihan secara intensif urutan Malaysia kepada semua pengiat industri spa termasuk mengadakan siri jelajah di semua institusi latihan di seluruh negara.

Urutan Malaysia adalah gabungan pelbagai etnik kaum yang ada di Malaysia.

Bagi 'Master Trainer' yang juga Pengasas dan Pengarah Urusan Teratak spa, Norliza Othman berkata, pihaknya tampil menyahut seruan itu dengan mengadakan sesi latihan kepada pelatih terapis di semua lima rangkaian syarikat Teratak Spa.

Beliau juga sebagai salah seorang daripada 20 tenaga pengajar yang mendapat pengiktirafan dan pertauliahan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang disampaikan Timbalan Menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada 18 Mei lalu.

"Kami di Teratak Spa mengambil inisiatif melatih semua terapis Teratak Spa membabitkan seramai 20 terapis dari lima cawangan utama di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Bukit Jambul, Kepala Batas, Pulau Pinang, Medan Mara, Kuala Lumpur dan Bangi hadir menjalani latihan selama empat hari.

"Urutan Malaysia adalah satu produk jagaan diri jenama Malaysia yang diilhamkan oleh pakar dan pengiat industri spa negara sejak tahun 2012 di mana kajian dilakukan menunjukkan urutan Malaysia mampu menjadi satu produk spa yang unik selain dipelbagaikan seni warisan dan budaya Malaysia.

"Teknik urutan Malaysia bukan sahaja tertumpu pada satu kaum semata-mata tetapi ia merupakan teknik urutan dari kombinasi seluruh kaum di Malaysia yang mampu menjenamakan nama Malaysia setanding teknik urutan lain seperti urutan Thai dan Bali ke pasaran luar negara," katanya.

Urutan Malaysia menjadi satu produk jagaan diri jenama Malaysia yang diilhamkan oleh pakar dan pengiat industri spa negara sejak tahun 2012.

Urutan Malaysia jadi syarat wajib penarafan bintang

Sejajar dengan itu, berkuatkuasa mulai 15 Julai depan, teknik urutan Malaysia akan dijadikan antara salah satu syarat wajib dalam penarafan bintang perusahaan spa serta menjadi modul wajib latihan terapi spa di negara ini.

Norliza berkata, pihaknya lebih awal bersedia untuk memperkenalkan teknik urutan Malaysia kepada pengiat industri spa di seluruh negara sekaligus mereka mampu memiliki kemahiran teknik urutan Malaysia.

"Bukan itu sahaja, Teratak Spa juga turut menjalinkan kerjasama dengan institut latihan kerajaan dan swasta yang menawarkan Kursus Terapi Spa seperti Pusat Giat Mara, Kolej Komuniti dan Kolej Vokasional selain mengadakan siri jelajah di seluruh negara," katanya.