Tahun ini nampaknya bukan permulaan yang baik buat Apple apabila syarikat berkenaan menghadapi pelbagai isu dan masalah membabitkan model lama mereka.

Belum reda isu sengaja melambatkan kelajuan model iPhone lama, Apple sekali lagi menjadi tumpuan dunia apabila berlakunya letupan kecil pada stor mereka di Zurich, Switzerland.

Insiden ini mungkin nampak biasa untuk kebanyakan premis tetapi apabila mencederakan seramai tujuh orang, ia boleh dikatakan serius!

BIMBANG ASAP BERACUN

Mana-mana telefon pintar yang mengalami masalah 'overheat' berpotensi untuk meletup.


Menurut laporan Mirror, letupan terbabit berlaku pada model iPhone 6 Plus.

Bateri pada iPhone terbabit bukan hanya menyebabkan seorang kakitangan melecur, malah turut mengeluarkan asap yang dibimbangi beracun.

Ekoran daripada masalah terbabit, semua pekerja dan hampir 50 pelanggan segera dipindahkan ke Bahnhofstrasse iaitu sebuah tempat membeli-belah eksklusif.

Difahamkan pakar dari Institut Forensik Zurich sedang menyiasat secara terperinci punca kebakaran.

Bagaimanapun, maklumat awal berkemungkin berpunca daripada masalah panas melampau pada sel bateri telefon pintar berkenaan.

BUKAN KALI PERTAMA

Permulaan 2018 yang tidak baik bagi Apple.
Insiden iPhone meletup bukan kali pertama berlaku pada model iPhone 6/Plus.

Tahun lalu, seorang lelaki melecur tahap tiga pada peha kanannnya ketika sedang menunggang motosikal.

Pemuda terbabit dirawat di Hospital Royal North Shore Sydney.