Minggu lalu pertunjukkan fesyen Gucci 2018 menjadi perbualan hangat terutamanya rakyat Malaysia apabila menampilkan gaya rekaan tudung yang agak sinonim dengan masyarakat di sini.

Gambar berkenaan tular dan menjadi jenaka netizen di media sosial. Ada yang mengatakan tudung berkenaan telah dipakai ramai ‘makcik’ di Malaysia.

Pertunjukkan fesyen Gucci turut mendapat perhatian ramai.
Selain tudung, beg tangan Gucci yang menyerupai kepala manusia dan naga juga menjadi perbualan ramai.

SELAMAT TINGGAL MODEL MANUSIA

Namun, tumpuan terhadap pertunjukkan fesyen tidak hanya pada Gucci semata-mata kerana semalam satu lagi jenama fesyen antarabangsa, Dolce & Gabbana (D&G) turut menampilkan keunikan berbeza apabila menggunakan dron!

Ya! teknologi dron digunakan bagi menggantikan model untuk memperagakan produk terbaru di atas pentas. Nampak lebih ‘cool’ dan futuristik bukan!
Untuk makluman, pertunjukkan fesyen berkenaan diadakan di Milan, Itali dan tetamu dikatakan terpaksa menunggu selama 45 minit sebelum acara itu berlangsung.

Penganjur juga terpaksa mengambil masa bagi memastikan 600 tetamu yang hadir telah menutup sambungan Wi-Fi.

MENDAPAT PERHATIAN TETAMU

Futuristik dan tampak 'cool'
Kemunculan dron ini dihangatkan dengan lagu "All The Stars" nyanyian Kendrick Lamar dan sebaik saja beg tangan ini diterbangkan, ia terus mendapat tepukan gemuruh daripada tetamu yang hadir.

Memang satu perkara yang moden dan lebih dinamik berbanding diperagakan model manusia.

Bagaimanapun, pertunjukkan ini tidaklah menggunakan sepenuhnya dron untuk koleksi terbaru D&G sebaliknya, model manusia tetap digunakan pada akhir pertunjukkan.

Kemunculan dron bukan kali pertama di pentas peragaan tetapi ia tetap satu perkara unik yang digunakan untuk memperkenalkan koleksi terbaru.

Mungkin pereka fesyen di Malaysia boleh menggunakan konsep yang sama selepas ini.