Skop
Bekas Pegawai TUDM Didakwa Terima Rasuah
Dua bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengaku tidak salah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dakwaan menerima rasuah RM600,000.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan tertuduh, Kamal Bahrin Nali, 47, dan Fadzil Noor Alias, 38, masing-masing berpangkat Leftenan Kolonel dan Kapten didakwa melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2011.
"Mereka didakwa menerima rasuah daripada pemilik syarikat kontraktor alat ganti pesawat melalui peguam syarikat tersebut sebagai upah membantu mendapatkan bayaran tertunggak bernilai lebih RM14 juta pada tahun 2011.
"Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh," kata SPRM dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, Kamal Bahrin dituduh menerima wang rasuah sebanyak RM600,000, manakala tertuduh kedua, Fadzil Noor dituduh bersubahat menerima wang rasuah tersebut daripada pemilik syarikat yang sama dalam bentuk dua keping cek, Affin Bank Berhad. Mereka dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
"Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama iaitu hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan mengikut mana lebih tinggi," katanya.
Mahkamah Sesyen Shah Alam membenarkan kedua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah serta tarikh perbicaraan ditetapkan pada 16 Jun 2017.
"Bagi pihak SPRM, kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh," kata SPRM.
Must-Watch Video