Sejak kebelakangan ini, ‘meriah’ di media sosial memaparkan keberkesanan penggunaan arang sebagai altenatif untuk membersihkan gigi dan mulut.

Jika dilihat pada ‘timeline’ Facebook, ada saja video dimuat naik oleh peniaga-peniaga yang menjual produk arang berkenaan.

Kebanyakan penjual mendakwa bahan berkenaan mampu memutihkan gigi, menghilangkan bau mulut, menjadikan gigi sentiasa segar dan boleh bertindak sebagai ‘detox’ untuk mulut.

Namun, di sebalik dakwaan ini timbul beberapa persoalan mengenai keberkesanannya. Adakah ia benar mampu memutihkan gigi?

Rojak Daily Skop! berkesempatan menemui seorang doktor pada majlis ‘Get Mouth Fit’ yang dianjurkan oleh Colgate-Palmolive Malaysia hari ini bagi mendapatkan jawapan mengenai perkara berkenaan.

GOSOK CARA BETUL

Fahrin Ahmad turut memeriahkan majlis Bulan Kesihatan Mulut 2018.
Presiden Persatuan Doktor Pergigian Malaysia, Dr Ng Woan Tyng berkata, penggunaan ubat gigi adalah sebahagian medium untuk menggosok dan membersihkan gigi serta mulut.

Menurutnya, pengguna boleh menggunakan apa saja bahan dirasakan sesuai untuk menggosok gigi. Apa yang lebih penting adalah harus menggosok gigi dengan cara yang betul dan pada waktu yang bersesuaian. Malah, bahan yang digunakan harus selamat.

Jelasnya, selagi bahan jualan berkenaan mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ia selamat digunakan. Namun, keberkesanannya untuk memutihkan gigi harus diteliti terlebih dahulu.

"Bagi saya kurang yakin dengan dakwaan berkenaan. Namun, saya kena lihat dulu produk berkenaan sebelum memberi penjelasan lanjut.

"Nasihat saya, pengguna harus meneliti terlebih dahulu sebelum membeli mana-mana produk pergigian,” katanya kepada Rojak Daily Skop!.

Sementara itu, dalam kenyataan Dr Irma daripada Klinik Pergigian Irma Ariandi menerusi Utusan Malaysia menyatakan bahan arang cuma membersihkan permukaan gigi dan membuang kesan warna hanya pada permukaan gigi.

Jelasnya, ia tidak sama dengan ‘power teeth whitening’ dan ‘cosmetic teeth whitening’ yang digunakan doktor gigi di klinik.

“Berhati-hati dan bersederhana dalam memberus gigi menggunakan arang,” katanya.

JAGA GIGI SEPERTI JAGA KESIHATAN BADAN

Jenama Colgate dijual lebih 200 negara seluruh dunia.
Panduan mengenai penjagaan gigi menggunakan bahan alternatif ini amat sesuai dengan sambutan Bulan Kesihatan Mulut pada tahun 2018 yang dianjurkan oleh Colgate-Palmolive Malaysia, Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) dan Bahagian Kesihatan Pergigian dari Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.

Tema ‘Get Mouth Fit' dipilih bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengambil berat tentang penjagaan mulut dan mengunjungi doktor pergigian secara berkala sebagaimana trend kecergasan fizikal yang semakin diterima baik oleh orang ramai.