Saban tahun jumlah graduan pastinya bertambah berikutan percambahan pelbagai institusi pengajian tinggi baik peringkat awam atau swasta.

Perkembangan ini dilihat satu perkara amat positif dalam sektor pendidikan negara. Namun, pastinya terdapat beberapa kebimbangan yang bakal membelenggu graduan ini terutamanya membabitkan isu pengangguran.

Secara dasarnya, pada tahun lalu kadar pengangguran di negara ini kekal berada 3.5 peratus atau seramai 504,100 penganggur.

Kadar berkenaan berada pada paras stabil membabitkan 131,600 graduan kelulusan diploma dan ke atas berbanding dan 37,250 kelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sijil dan ke bawah.

PELUANG CERAH TAHUN INI

Peluang cerah bagi tahun 2018!
Biarpun masih di paras stabil tetapi realitinya ramai di luar sana yang masih menantikan peluang pekerjaan dan tahun 2018 diharapkan bakal membuka lembaran baru buat golongan ini.

Berita baik bagi anda semua, JobStreet.com dalam Laporan Prospek Pekerjaan 2018 menyatakan peluang pekerjaan tahun ini dijangka lebih kukuh berbanding tahun lalu.

Sebanyak 30 peratus majikan Malaysia menunjukkan peningkatan dalam pengambilan pekerja baru dengan kenaikan 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut laporan itu sebanyak 15 peratus daripada majikan yang dikaji juga akan mengekalkan kadar pengambilan pekerja, sekali gus mengesahkan momentum peningkatan aktiviti pengambilan pekerja.

PENAMBAHAN IKLAN MENCARI PEKERJA

Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M)  jug a antara alternatif graduan.
Menurut Pengurus Negara JobStreet.com Malaysia, Chook Yuh Yng, perkembangan positif ini berkait rapat dengan pertambahan iklan pekerjaan sebanyak sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya.

Malah, pertambahan syarikat pemula niaga, perluasan perniagaan tempatan dan kemasukan firma asing mewujudkan peluang pekerjaan serta keperluan terhadap pelbagai kemahiran.

“Oleh itu, kita boleh menjangkakan aktiviti mencari kerja dan pengambilan pekerja akan meningkat tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, JobStreet.com menyatakan lima faedah utama yang diinginkan pekerja adalah insurans kesihatan atau perubatan, elaun pengangkutan, perlindungan perubatan untuk keluarga, dana pencen persaraan dan tempoh bekerja yang fleksibel.