SKOP
Bukan 'Superman' Selamatkan Bumi Tapi Kereta Tenaga Elektrik Boleh!
Seandainya anda mengikuti perkembangan kempen pilihanraya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu, pastinya anda mengetahui Donald Trump (kini Presiden AS) telah mengeluarkan banyak kenyataan kontroversi.
Antaranya Trump membangkitkan konsep pemanasan global dan perubahan iklim dunia merupakan suatu pembohongan yang sengaja direka China untuk menekan syarikat pengilangan AS. Kenyataan tersebut bukan saja mendapat kecamanan daripada komuniti saintis antarabangsa tetapi juga daripada masyarakat dunia secara umumnya.
Kini, saban hari semakin banyak muncul bukti tentang kewujudan dan kesan pemanasan global antaranya kehadiran satu demi satu taufan berskala gergasi pada tahun ini.
Selepas Taufan Harvey mengakibatkan kemusnahan besar di Texas pada pertengahan Ogos lalu, sebahagian besar kawasan di Kepulauan Bahama dan Florida pula ‘ditelan’ Taufan Irma pada minggu lepas. Kini kawasan pesisiran timur AS dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi kemunculan Taufan Jose pula tidak lama lagi.
CHINA MESRA ALAM SEKITAR
Di sebalik tuduhan tidak berasas yang mengatakan China mereka pembohongan pemanasan global, kerajaan negara itu sebenarnya sedang melipat gandakan usaha mereka dalam merangka polisi-polisi yang lebih mesra alam sekitar.
Terbaru, negara yang mempunyai jumlah penduduk teramai di muka bumi ini sedang menimbangkan untuk mengharamkan penggunaan kenderaan yang berasaskan bahan api fosil seperti petrol dan diesel.
Menurut agensi berita rasmi negara tersebut, Xinhua, langkah berkenaan adalah bertujuan untuk menggalakkan penggunaan kenderaan berasaskan tenaga elektrik.
Timbalan Menteri Industri, Xin Guobin berkata China sudah memulakan kajian yang berkaitan tetapi belum memutuskan bila pengharaman tersebut akan dikuatkuasakan.
“Langkah-langkah berkenaan sudah pastinya akan membawa perubahan besar terhadap pembangunan industri kereta di China,” ujarnya.
Xin juga menekankan betapa pentingnya dalam tempoh 10 tahun akan datang, industri automotif dapat menyesuaikan diri dengan keperluan industri tenaga baru. Tambahnya, China perlu bersaing dengan pengeluar kenderaan elektrik utama dunia seperti Tesla, Ford dan General Motors.
PERUBAHAN INDUSTRI AUTOMOTIF
Pada tahun lalu, China telah menghasilkan sebanyak 28 juta kereta iaitu hampir satu per tiga daripada jumlah pengeluaran kereta dunia. Malah, China merupakan pengeluar kereta terbesar di dunia selama lapan tahun berturut-turut.
Namun, langkah kerajaan untuk mengharamkan kenderaan berasaskan bahan api fosil ini sebenarnya adalah mengikuti perkembangan automotif antarabangsa.
Baru-baru ini, kerajaan United Kingdom dan Perancis juga telah mengumumkan pelan untuk mengharamkan penghasilan kenderaan baru yang menggunakan petrol dan diesel menjelang tahun 2040. Ini merupakan sebahagian daripada usaha mereka untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pelepasan karbon ke udara.
Volvo, syarikat pengeluar kereta Sweden yang kini dimiliki oleh syarikat China, juga telah mengumumkan pada Julai lalu untuk mengikuti langkah sama. Bermula dari tahun 2019, kesemua kereta baru buatan mereka akan menggunakan teknologi motor elektrik.
Geely, syarikat automotif China yang membeli Volvo pada tahun 2010 pula mengatakan mereka menyasarkan penjualan sebanyak satu juta kereta elektrik menjelang tahun 2025.
Syarikat pengeluar kereta antarabangsa yang lain seperti Renault-Nissan, Ford dan General Motors juga sedang dalam perancangan untuk membuka pusat operasi di China untuk menghasilkan kereta elektrik bagi pasaran negara tersebut.
Mengikut kajian terbaru terhadap industri kereta elektrik yang dilakukan McKinsey & Company , rantaian bekalan ('supply chain') yang dimiliki China adalah jauh lebih baik berbanding AS. Hanya Norway sahaja yang mengatasi China mengikut Index Kenderaan Elektrik yang dihasilkan oleh McKinsey.
Perancangan China ini juga akan meninggalkan kesan besar terhadap industri bahan api fosil dunia memandangkan negara tersebut merupakan pengguna petrol yang kedua terbesar di dunia selepas AS.
BAGAIMANA PENDIRIAN MALAYSIA?
Tatkala dunia semakin beralih arah meninggalkan kebergantunggan terhadap bahan api fosil, mungkin anda tertanya-tanya mengenai pandangan Malaysia terhadap isu ini.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili berkata melalui Pelan Induk Teknologi Hijau Negara dan Electric Mobility Blueprint (EMB), Malaysia telah meletakkan sasaran untuk menjadi sebuah hab pasaran bagi kenderaaan elektrik.
Menjelang tahun 2030, negara bermatlamat untuk mempunyai sebanyak 100,000 kereta elektrik, 100,000 motosikal elektrik, 125,000 stesen pengecas dan 2,000 bas elektrik beroperasi di jalan raya.
“Dengan sasaran itu, sektor pengangkutan kerajaan perlu memulakan langkah membangunkan Sektor Teknologi Hijau dengan lebih agresif. Kesedaran dalam kalangan rakyat juga amat penting untuk menghasilkan landskap mobiliti rendah karbon di Malaysia.
.
"Oleh itu, pengguna perlu diyakinkan bahawa kenderaan elektrik merupakan salah satu pilihan yang setanding dengan kenderaan sedia ada pada masa ini," katanya.
Pelan Induk Teknologi Hijau Negara dan EMB dilaksanakan untuk menangani isu mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) yang memberikan tumpuan kepada pembanguanan industri kenderaan elektrik.
"EMB adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkenalkan kenderaan elektrik bagi menggantikan kenderaan diesel/petrol. Peluasan penggunaan kenderaan elektrik adalah penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang menjadi sumber tenaga bagi semua pengangkutan udara, marin dan darat," ujarnya seperti dilaporkan Bernama.
Selain itu, sebanyak 1,200 buah basikal elektrik atau Electric Pedal Assisted Bicycle (EPAB) akan diserahkan kepada enam universiti awam iaitu Universiti Putra Malaysia, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaysia Sabah.
Basikal elektrik yang digunakan dalam Program Sikal Elektrik Rakyat 1Malaysia (SER1M) itu adalah keluaran syarikat tempatan iaitu Voltron Malaysia Sdn Bhd. Ianya mampu mendaki bukit setinggi 30 darjah dengan mudah serta sangat sesuai dengan keadaan muka bumi yang terdapat di kebanyakan universiti di Malaysia.
Must-Watch Video