Skip to main content

Market Trends

'Cameron Highlands 2' Jadi Tumpuan Penggambaran Filem Hong Kong

banner-pengambaran-hk.jpg
Gopeng, Perak sememangnya terkenal dengan lokasi tumpuan pelancong khususnya yang gemar aktiviti lasak. Sukan ‘white water rafting’ contohnya amat sinonim dengan kawasan berkenaan.  Namun, di sebalik ‘kemeriahan’ itu, mungkin ramai tidak tahu sebenarnya Gopeng menyimpan satu lagi khazanah dan daya tarikan tersendiri.
 
Siapa sangka di sebalik pintu gerbang ala The Great Wall of China, tersimpannya 200,000 batang pokok gaharu di atas ladang berkeluasan 120 hektar. Malah, jika sekali pandang, ia mirip kawasan tanah tinggi Cameron Highlands!

Pintu masuk ala Tembok Besar China ini pasti buat anda kagum.

Biarpun suhunya jauh sekali dengan kesejukan Cameron Highlands tetapi pemandangan dari puncak ladang ini pasti membuatkan anda terpukau! Rojak Daily Skop! senaraikan lima perkara anda perlu tahu mengenai kawasan yang dikenali sebagai Gaharu Tea Valley ini!

1. Ada van khas bawa naik ke puncak

Ladang Gaharu Tea Valley  ini mula dibangunkan pada tahun 1992 dan hanya terletak satu kilometer dari bandar Gopeng. Sejak lima tahun lalu ia mula diangkat sebagai antara pusat pelancongan terbaru di Perak. Pengunjung berpeluang menaiki van khas untuk mengelilingi ladang ini dan setiap ‘pit stop’ mempunyai kisahnya tersendiri. Malah, apa yang lebih menarik adalah terdapat satu kawasan puncak yang membolehkan anda melihat pemandangan hampir keseluruhan ladang. Percayalah jika anda sudah sampai di atas, liat rasanya nak turun.
 
2. Dikelilingi 200,000 tanaman purba

Ini antara pemandangan yang anda akan saksikan dari puncak atas Gaharu Tea Valley Gopeng.

Gaharu lebih dikenali sebagai 'agarwood' dan turut digelar sebagai 'eaglewood' di sesetengah negara. Gaharu sebenarnya memainkan peranan yang luas dan penting dalam budaya Timur Tengah, China dan perubatan ayurveda. Penggunaan agarwood  dikatakan sudah didokumentasikan sejak 600 masihi.  Namun, ada pihak mengatakan kewujudan tanaman ini dalam dunia perubatan sebenarnya melangkaui tempoh terbabit.
 
3. Teh Gaharu penawar insomnia

Kelebihan gaharu juga terkenal sebagai antara bahan asas dalam penghasilan minyak wangi. Namun, ramai juga tidak tahu sebenarnya daun gaharu ini mampu menghasilkan minuman teh yang mempunyai 1,001 khasiat.

Antara kebaikan utama teh ini, ia mampu mengurangkan kadar gula dalam badan dan asid urik yang menjadi punca penyakit gout. Namun, apa yang lebih menarik di sini, teh gaharu sebenarnya mampu menjadikan anda tidur lebih nyenyak. Pastinya ia berita baik pada mereka yang menderita masalah ‘insomnia’.

Teh Gaharu juga dapat mengurangkan kadar keresahan atau kebimbangan dalam badan, sekali gus menjadikan badan anda lebih relaks. Jadi, tidak hairanlah ia mampu menjadikan tidur anda lebih lena. Penulis sudah cuba, memang susah nak bangun pagi nanti!

Proses pengasingan antara dahan dan daun gaharu perlu dilakukan sebelum proses membuat teh dilakukan.
 
4. Khasiat Gaharu dipelbagaikan

Saban tahun, khasiat Gaharu semakin dikenali ramai. Bukan hanya dalam kalangan masyarakat Cina tetapi kaum lain mula mengiktiraf khasiat tanaman purba ini. Jika berkunjung di Gaharu Tea Valley ini terdapat satu bangunan khas yang menjual pelbagai produk berasakan Gaharu. Produk yang dihasilkan antaranya adalah teh, minyak urut, sup, biskut dan gula nougat. Malah, pengunjung juga turut berpeluang menikmati ais krim berasakan teh gaharu. Rasanya seperti teh hijau yang pekat.

5. Pemandangan jadi tumpuan.

Pelakon Hong Kong menikmati teh gaharu ketika penggambaran dilakukan di puncak ladang.


Biarpun Gaharu Tea Valley ini dilihat sebagai ‘underdog’ dalam industri pelancongan tempatan, ia pernah menjadi lokasi pilihan bagi pengambaran beberapa filem Hong Kong sebelum ini. Pengambaran dijalankan di atas puncak ladang bagi mendapatkan sinematografi yang indah bagi produksi terbabit.

Selain itu terdapat juga sebatang pokok Gaharu tertua di ladang terbabit yang menjadi daya tarikan. Difahamkan sehingga Mac lalu, Gaharu Tea Valley menjadi tumpuan tidak kurang 10,000 pengunjung sebulan. Ladang Gaharu Tea Valley dibuka kepada orang ramai seawal jam 9 pagi sehingga jam 6 petang setiap hari.




 

Advertisement

Must-Watch Video