Andakah anda peminat sukan bola sepak terutamanya Liga Perdana Inggeris? Jika ya, di manakah lokasi kegemaran anda untuk menonton siaran langsung pasukan Inggeris itu? mungkin di rumah bersama keluarga atau rakan di restoran mamak?

Mungkin juga anda pernah berkunjung ke stadium pasukan kegemaran anda di England. Namun, impian anda pastinya tidak mampu menandingi lokasi idaman angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang mahu tonton bukan di bumi.

Dr Sheikh Muszaphar berpeluang ke Old Trafford, Manchester pada awal tahun ini.
.
SIARAN LANGSUNG BOLASEPAK DI ANGKASA LEPAS

Sekiranya kemajuan teknologi pada masa hadapan mengizinkan, Dr Sheikh Muszaphar menyatakan beliau mahu menyokong pasukan kegemarannya iaitu kelab gergasi Liga Perdana Inggeris Manchester United menerusi siaran langsung di planet Marikh!

Jejaka tampan berusia 45 tahun ini meluahkan hasratnya itu ketika ditemubual oleh laman sesawang rasmi kelab tersebut yang berpangkalan di Old Trafford, Manchester, England baru-baru ini.

Hasrat Dr Sheikh Muszaphar yang terpendam sejak sekian lama melihat pasukan yang mendapat jolokan ‘Setan Merah’ itu di gelanggang keramat mereka Old Trafford akhirnya tertunai pada awal tahun ini. Dia merupakan antara ribuan penonton yang hadir di stadium pada hari tersebut menyaksikan Manchester United bertemu seteru tradisi mereka iaitu Liverpool. Perlawanan penuh sengit itu berakhir dengan keputusan seri 1-1.

“Ianya adalah kali pertama saya hadir di Old Trafford dan terus-terang ia merupakan saat paling menyeronokkan di dalam hidup saya.

“Saya mengalami satu ‘adrenaline rush’ yang menakjubkan. Suasana stadium yang dipenuhi sorakan penyokong sememangnya sungguh bermakna buat diri saya. Akhirnya telah terpahat dalam sejarah hidup saya bahawa saya telah berada di Old Trafford. Saya hampir terjatuh dan mengalami sakit jantung ketika Zlatan Ibrahimovic menjaringkan gol,” katanya.

Menurut Dr Sheikh Muszaphar, kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak England itu meraih sokongan hebat dan padu ramai penyokong mereka dari seluruh dunia teruntamanya di rantau Asia termasuk Malaysia. Malah, beliau berpendapat pasukan bolasepak itu adalah terbesar di dunia.

“Saya merupakan antara peminat paling tegar Manchester United. Kami di Malaysia memang mencintai pasukan itu. Di negara ini sahaja, terdapat 8.4 juta penyokong mereka. Di Thailand ada lebih-kurang 20 juta, di Indonesia 45 juta dan di China ada lebih daripada 100 juta penyokong,” katanya dengan penuh bersemangat.

Dr Sheikh Muszaphar mengakui beliau adalah peminat tegar kelab bola sepak Inggeris terkenal, Manchester United.

KETERUJAAN KE ANGKASA LEPAS

Dr Sheikh Muszaphar ialah seorang doktor pakar bedah menjadi angkasawan pertama negara selepas menjadi sebahagian daripada kru Baikonur Cosdrome Russia yang berlepas ke angkasa lepas selama 12 hari bermula dari 10 Oktober 2007.

“Sudah pasti saya mahu kembali ke angkasa lepas. Saya akan lakukan apa sahaja untuk pergi semula ke sana. Jika diberi peluang, saya mahu ke planet Marikh untuk perjalanan satu hala sahaja. Saya sanggup lakukan apa sahaja bagi tujuan itu! Saya sanggup tinggalkan keluarga, kehidupan, pekerjaan, dan segala-galanya. Saya sanggup mati untuk ke angkasa lepas!” ujarnya.

Impian menerokai angkasa lepas ini sebenarnya sudah tersemai di jiwa Dr Sheikh Muszaphar semenjak usia yang kecil lagi. Ketika itu beliau sering merenung ke arah langit dan bintang sambil terfikir mengenai kehidupan di ruang angkasa.

Sekarang terdapat perancangan untuk menjejakkan kaki di planet Marikh sebelum tahun 2027. Tujuan utama adalah untuk mengetahui sama ada terdapat kehidupan di sana. Ianya memerlukan jangkamasa enam bulan bagi perjalanan ke sana, enam bulan untuk tinggal di planet tersebut, dan enam bulan lagi bagi perjalanan pulang ke bumi.

"Semua negara pada masa ini mahu menerokai angkasa lepas. United Kingdom juga mempunyai dua orang angkasawan, seorang lelaki dan seorang wanita. Ini adalah masa yang menyeronokkan buat kami.

“Tetapi menjadi seorang angkasawan sebenarnya bukan tertumpu kepada pengembaraan angkasa lepas sahaja. Pekerjaan ini mampu menjadi medan inspirasi kepada generasi muda yang mahu menjadi doktor, saintis mahupun jurutera aeroangkasa. Saya mahu menjadi sumber inspirasi buat mereka ini,” tambahnya lagi.


PEMINAT FANATIK MANCHESTER UNITED

Sungguhpun, Dr Sheikh Muszaphar berada jutaan batu jauh dari bumi sebelum ini, pasukan kegemarannya Manchester United tidak pernah terpadam di hati mahupun fikirannya.

Keitka saya berada di angkasa lepas, sememangnya saya telah tertingal segala perkembangan mengenai bola sepak. Bagaimanapun, apabila pulang semula ke bumi, cepat-cepat saya kemaskinikan pengetahuan saya mengenai sukan tersebut. Terasa seperti sekejap sahaja masa berlalu ketika ketiadaan saya di sini, lebih-lebih lagi perkembangan berkaitan Manchester United,” ujarnya.

Planet Marikh juga dikenali sebagai ‘Planet Merah’. Jadi, nampaknya ‘Planet Merah’ bakal mempunyai penyokong kelab ‘Setan Merah’. Ini bakal menjadikan mereka bukan sahaja kelab bola sepak terbesar di dunia, tetapi juga yang termashur di alam semesta!