Kerjaya sebagai penulis di negara ini sebenarnya boleh meraih pulangan yang lumayan jika bijak memanfaatkan bakat sendiri dengan peluang kerja yang sedia ada.

Ia bukan suatu yang pelik apabila penulis tempatan juga boleh menjana pendapatan sehingga bergelar jutawan. Perkara ini diakui sendiri Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Nafisah Ahmad mengatakan ada penulis novel yang menjadi jutawan. (Baca lagi: Jadi Jutawan Hanya Sebagai Penulis Buku Di Malaysia, Boleh Ke?)

Namun, di sebalik kerjaya sebagai penulis novel, tahukah anda bidang penulisan turut menawarkan peluang yang besar dan bayaran yang sangat lumayan kepada penulis yang digelar 'ghostwriter' atau diterjemahkan sebagai penulis upahan.


TAK MENANG TANGAN

Berkongsi kisah kehidupan seorang penulis upahan yang hanya mahu dikenali sebagai Puteri, mengakui pekerjaan ini memberi kepuasan pada diri sendiri menulis secara bebas untuk berkarya apa jua bidang penulisan yang diminatinya.

Jelasnya, kewujudan 'ghostwriter' bukanlah baru tetapi ia bersifat tersembunyi, tidak terlalu menonjolkan diri dan juga tidak bercerita apa yang mereka tulis. Ini bermakna, individu kelompok ini menulis secara rahsia tanpa pengetahuan orang lain.

Malah, namanya tidak ditulis pada buku yang dihasilkan kerana ia adalah syarat perjanjian dengan pelanggan yang mahu menerbitkan buku tersebut.

"Apabila bercerita peranan saya sebagai 'ghostwriter', orang lain mula terfikir buku yang ditulis seseorang itu sama ada sememangnya ditulis individu terbabit atau hanyalah 'ghostwriter'," katanya sambil tersenyum dalam satu temubual eksklusif bersama Rojak Daily Skop! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Apa yang menarik mengenai kisah kerjaya wanita ini adalah sejak serius menjadi 'ghostwriter' setahun lalu, dia tidak putus-putus menerima pelbagai tawaran menulis buku yang diminta pelanggannya.

Jangan terkejut, tawaran yang diterima bukan calang-calang kerana ia mencecah sehingga RM200,000 hanya untuk menulis sebuah buku!


PRINSIP BERKARYA

Bayangkan jika anda ditawarkan bayaran yang lumayan menyamai harga sebuah kereta mewah dibeli dengan tunai semata-mata untuk menulis sebuah buku, pasti ada yang kelabu mata tanpa berfikir panjang akan merebut tawaran tersebut.

Namun, Puteri memberitahu dia mempunyai prinsip sendiri ketika berurusan dengan pelanggan tanpa memikirkan wang adalah faktor utama dan segalanya yang dia mahukan dalam sebuah kehidupan.

"Kerja sebegini biasanya perseorangan. Selalunya 'ghostwriter' akan tulis daripada sebuah buku kepada buku lain.

"Namun, antara duit dengan kepuasan berkarya, saya lebih utamakan berkarya kerana saya pernah pulangkan duit seorang pelanggan disebabkan egonya. Harus ingat, bukan semua 'ghostwriter' mengambil kerja menulis daripada pelanggan kerana ada situasi bidang penulisan itu tidak disukai 'ghostwriter' tersebut membuatkan dia terpaksa menolak.

"Bagi saya, menulis perlu dilakukan dengan hati dan perasaan bukannya sebab terpaksa kerana duit. Seperti saya sendiri, saya melakukan pekerjaan ini sebab kepuasan bukan kerana duit," jelasnya.

Puteri yang tidak lokek berkongsi ilmu dengan individu lain yang berminat menjadi 'ghostwriter' berpesan pada anak didiknya agar tidak terjebak dengan perkara yang boleh mendatangkan masalah.

Sebagai contoh, apabila berjumpa pelanggan yang mempunyai karakter cerewet walaupun mempunyai banyak wang dan sanggup membayar dengan jumlah tinggi tetapi dia mengingatkan selagi tinggi nilai yang dibayar, semakin cerewet kerja yang akan dilakukan nanti.

"Saya pernah berjumpa dengan pelanggan yang cerewet, banyak bertanyakan kredibiliti saya sebagai seorang 'ghostwriter'. Saya memberi pilihan pada pelanggan untuk memilih saya sebagai penulis dan memberitahu pelanggan berhak memilih penulis yang mereka percaya dan suka.


KERJA SEBENAR 'GHOSTWRITER'

Kehidupan 'ghostwriter' lazimnya tidak tertera nama mereka pada buku yang ditulis.


Sebelum kerja menulis bermula, Puteri menyatakan perlu wujud perjanjian bertulis antara kedua pihak. Jika salah satu pihak tidak bersetuju dengan terma perjanjian, kerja tersebut tidak akan diteruskan.

Lebih sekadar mengambil bayaran untuk menulis sebuah buku, 'ghostwriter' juga perlu menjaga reputasi kerana golongan sebegini akan berurusan dengan ramai pelanggan termasuk daripada golongan jutawan yang memakai kereta mewah seperti Lamborghini dan Ferrari.

Berbeza dengan kerja sebagai wartawan, kerja penulis upahan lebih mudah kerana mereka sudah tahu apa yang mahu ditulis sepertimana dikehendaki pelanggan.

"Biasanya format soalan sudah ada cuma pergi melakukan temubual dan tak payah buang masa. Seperti saya sendiri, kerja menulis lebih mudah apabila mempunyai beberapa rakan penulis lain yang turut bersama dalam satu projek.

"Sebagai contoh, tawaran menulis buku sebanyak RM200,000 sebenarnya dianggap murah dibandingkan kepayahan penulis upahan itu sendiri yang perlu membuat kajian mendalam terhadap buku tersebut yang membawa kisah perjalanan hidup seorang individu berpengaruh.

"Buat kerja seorang diri memang sukar tetapi jika mempunyai tiga atau empat penulis upahan bersama menyiapkan sebuah buku, ianya lebih mudah untuk mengagihkan tugas menulis setiap bab.

"Ada juga penulis upahan membuat sendiri daripada melakukan temubual, menterjemah kepada transkrip dan menulis sehingga mendapat bayaran sebanyak RM100,000 untuk sebuah buku yang mengambil masa setengah tahun untuk disiapkan.

"Namun, risikonya adalah kehidupan 'ghostwriter' itu terpaksa bermalam dalam kereta sehingga tinggalkan isteri dan anak-anak untuk menyiapkan projek tersebut," katanya.


CARA SIAPKAN PROJEK 'ON-TIME', JAGA KUALITI KERJA

Kerjaya sebagai 'ghostwriter' dianggap profesional kerana individu atau sekumpulan penulis itu bertanggungjawab atas hasil kerja yang dilakukan.

Bagi Puteri, dia lebih gemar memilih kerja dalam berkumpulan kerana ia adalah salah satu cara pantas menyiapkan setiap projek buku mengikut 'dateline' yang ditetapkan. Malah, dia juga bersikap tidak mahu tamak untuk satu projek tetapi beranggapan rezeki itu sepatutnya dikongsi bersama.

"Saya ingin beritahu menulis ini membantu orang lain menjana pendapatan. Saya sendiri mempunyai juru transkrip yang bertindak menulis semula rekod temubual yang sudah dibuat.

"Juru transkrip ini bukan sebarangan kerana mereka dipilih berdasarkan kelulusan akademik dan pengalaman bekerja. Tugas mereka menjadi sangat penting apabila pelanggan mempersoalkan sesuatu cerita dalam bukunya itu tidak seperti mana mereka katakan dan transkrip yang ditulis adalah bukti.

"Seperti menghasilkan buku autobiografi atau kisah benar kehidupan seorang individu, 'ghostwriter' perlu melihat emosi pelanggan sebelum ia diterjemahkan dalam penulisan," jelasnya.

Baginya, kerja melakukan transkrip sendiri seperti dilakukan seorang wartawan sebenarnya melambatkan kerja dibandingkan mengupah juru transkrip.

"Ghoswriter tiada masa mendengar semula rakaman temubual dan menulis. Lebih baik mengupah transkrip walaupun dibayar mahal tetapi hasilnya lebih berkualiti dan biasanya tarnskrip dapat disiapkan dalam tempoh 3 hari maksimum.

"Selain itu apa yang lebih penting adalah perlu ada perjanjian menjaga kerahsiaan pelanggan mengenai projek buku tersebut dan 'ghostwriter' tidak boleh bercerita pada orang lain atau mengakui ianya adalah hasil tulisannya," katanya.


MENGAPA 'GHOSTWRITER' JADI PILIHAN?

Kebanyakan penulis menjadi 'ghostwriter' kerana minat menulis. Puteri percaya ramai individu di luar sana mempunyai cerita menarik yang boleh memberi inspirasi pada orang lain untuk berjaya dalam kerjaya atau kehidupan.

"Indvidu tersebut bukan tidak tahu menulis sedangkan dia pandai bercakap mengenai kisah kejayaan dan pencapaiannya. Sebaliknya, dia tidak tahu menterjemahkan dalam bahasa yang mudah pembaca faham dalam sebuah buku.

"Ghostwriter dipilih kerana kekangan masa individu tersebut. Penulis sebenar tiada masa
menulis tetapi penulis upahan boleh buat apa saja kerja berkaitan menulis sama ada buku, teks ucapan, kertas kerja, surat atau apa saja bidang penulisan upahlah dia!," katanya.