Bulan lalu saja, empat kes polis dilaporkan media iaitu di Semenyih, Pulau Langkawi, pekan Jitra dan satu lagi di kawasan perumahan berdekatan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) manakala terbaru di kawasan taman di Kluang, Johor.

Kesemua kes tersebut membabitkan remaja yang ditahan akibat atas kesalahan menunggang basikal lajak yang semakin menjadi fenomena dalam kalangan remaja belasan tahun.

Mereka ditahan sebelum ibu bapa remaja berkenaan dipanggil untuk diberi sesi kaunseling. Lebih malang, basikal remaja ini disita di bawah Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SALAH BASIKAL LAJAK ATAU REMAJA?

Jika dilhat pada basikal yang digunakan remaja yang ditahan, kesemua basikal ini diubahsuai daripada reka bentuk asal terutama pada bahagian 'handle' basikal yang nampak lebih kecil.

Ini menyebabkan remaja terbabit menunggang dengan cara lebih membongkok seolah mudah untuk berlumba. Malah, tayar yang dipasang juga pelbagai saiz dan berwarna-warni yang menyerlahkan gaya basikal terbabit.

Dalam kejadian terbaru di Kluang semalam, Ops Basikal Lajak yang dijalankan anggota polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menahan enam remaja.

Operasi tersebut dilakukan bertujuan membanteras aktiviti berbasikal lajak dalam kalangan remaja yang membahayakan diri sendiri dan orang ramai di atas jalan raya.

Dalam kes di Kajang pada awal bulan lalu pula, polis bertindak menahan 11 remaja dan merampas basikal lajak selepas menerima aduan orang awam.

Saman juga dikeluarkan mengikut Peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 kerana mengubahsuai basikal tanpa brek dan loceng.

Dalam satu kes lain, pelawak Shahrol Shiro sempat membantu seorang remaja yang terbabit dalam satu kemalangan ketika menaiki basikal dan aksinya itu menjadi viral di media sosial.
Begitu juga, basikal lajak sekumpulan remaja di kawasan perumahan berdekatan NKVE dirampas polis dan diambil rakaman percakapan atas kesalahan yang sama.

Bagaimanapun, sekumpulan pelajar yang menunggang basikal lajak di pekan Jitra bernasib baik kerana basikal mereka tidak disita polis apabila ditahan tetapi mereka diberi amaran sebelum kedua ibu bapa mereka dipanggil ke balai polis.

Susulan pelbagai kes polis membabitkan basikal lajak, ia menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen termasuk di media sosial mengenai penggunaan basikal yang diubahsuai mahupun remaja yang didakwa menunggang secara berbahaya.