Mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang perniagaan sejak di usia muda tidak mematahkan semangat Nur Safiyyah Osman, 28, untuk bekerja keras dalam mencapai cita-citanya.

Memulakan langkah dengan membiasakan diri sebagai jurujual pada umur 18 tahun, Nur Safiyyah terus menunjukkan keinginannya untuk menceburi dunia perniagaan dengan berniaga secara dalam talian.

Bahkan, dia turut membahagikan masanya untuk bekerja secara sambilan dan menjana pendapatan sampingan dengan menjual pelbagai jenis produk ketika masih menuntut di institusi pengajian tinggi.

Nur Safiyyah berkata, dia tekad untuk lebih serius dalam bidang perniagaan selepas melihat kepayahan suaminya, Mohd Noradli Mohamad Yusop, 32, mencari nafkah bagi menampung kehidupan seharian mereka.

Apa yang lebih menyedihkan, suaminya antara lebih 6,000 pekerja Malaysia Airlines (MAS) yang diberhentikan tugas dalam usaha memulihkan syarikat penerbangan itu, kira-kira tiga tahun lalu.

“Malah, kawan juga sanggup meminjamkan wangnya sebanyak RM150,000 kepada saya untuk dijadikan modal bagi memulakan perniagaan kerana ingin melihat kehidupan saya dan suami kembali seperti biasa,” katanya.


BANGGA PRODUK SENDIRI

Purebysafiyyahosman diilhamkan daripada produk penjagaan dan kecantikan buatan sendiri yang biasa diamalkannya pada usia remaja.

Dengan berkat, kesungguhan dan galakan daripada suami, Nur Safiyyah kini tampil dengan produk penjagaan dan kecantikannya sendiri, Purebysafiyyahosman, selepas mengharungi kepayahan dalam menguruskan kira-kira 10 jenis perniagaan, sebelum ini.

Dia yang kian popular dengan jolokan usahawan produk kecantikkan ‘homemade’ dan ‘do it yourself - DIY’ menambah Purebysafiyyahosman kini mempunyai 18 barisan produk merangkumi produk untuk badan, muka dan kulit, rambut, mata serta bibir iaitu Organic Detox Body Scrub, Foot Soak Chamomile-Lavender, Organic LAV-GER Face Wash, Esa Golden Jojoba Face Oil, Kick-It Acne Stick, My Organic Sweet Orange Shampoo, Organic Argan Oil Powerful Hair Mist, Lip Scrub, Lipbalm, Lip Tint dan Organic Soap Bar berbanding hanya tiga jenis produk saja pada awal kemunculannya.

“Purebysafiyyahosman diilhamkan daripada produk penjagaan dan kecantikan buatan sendiri yang biasa saya amalkan pada usia remaja dulu.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, sebenarnya untuk menjaga kulit wajah dan anggota badan, terdapat banyak cara mudah yang boleh dilakukan termasuk dengan hanya menggunakan bahan-bahan makanan yang ada di rumah.

“Jadi, untuk menjaga keterampilan diri dan kecantikan wajah, saya selalu mengamalkan penghasilan produk berasaskan bahan semula jadi antaranya madu, badam, oat, gula, telur dan banyak lagi yang mempunyai khasiat tersendiri bagi mengekalkan keremajaan dan kecantikan wajah kita,” katanya.

Pembuatan produk turut dibantu oleh suami Nur Safiyyah, Mohd Noradli Mohamad Yusop.

Selain diinspirasikan daripada hasil tunjuk ajar emaknya, Nur Safiyyah turut pernah menyertai bengkel pembuatan produk kecantikan yang dianjurkan oleh pakar dalam bidang berkenaan agar setiap penghasilan produknya mempunyai kualiti yang bermutu tinggi.

Tambahnya, dengan modal permulaan sebanyak RM6,000, dia dan suami hanya menguruskan perniagaan di rumah dan menghasilkan kesemua produk menggunakan tenaga sendiri.

Menariknya, selama hampir setahun menjengah ke pasaran tempatan, penghasilan produk Purebysafiyyahosman hanya dilakukan di rumah dan diadun menggunakan tangan tanpa bantuan mesin.

“Saya juga terpaksa bergolok gadai dan menjual kereta yang ada untuk memulakan kehidupan baru dan hanya bergantung kepada motosikal yang dipinjamkan rakan untuk menjual dan menghantar produk kepada pelanggan setempat.

“Alhamdulillah, selepas menyaksikan permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan, kami bercadang untuk menggandakan pengeluaran dan kini mampu menghasilkan lebih daripada 200 produk sehari berbanding antara 10 hingga 20 unit saja dulu.

“Walaupun masih mengekal tradisi untuk membancuh adunan produk menggunakan tangan tetapi dengan adanya mesin baru dan bantuan beberapa kakitangan, penghasilan produk kami kini lebih teratur dan sistematik,” tambahnya lagi.


IMPIAN BESAR

Serbuk koko merupakan antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan Face Mask & Scrub.

Menurut ibu kepada seorang anak ini, dia percaya gabungan dan aduan bahan semula jadi tanpa sebarang bahan pengawet dan warna tiruan itulah yang membuat penggunaan produknya akan menunjukkan kesan yang memakan sedikit masa.

Nur Safiyyah yang menjadikan usahawan wanita muda terkenal, Vivy Yusoff sebagai idola menyatakan dia berhasrat ingin meletakkan jenama keluaran sendiri seiring dengan jenama terkenal antarabangsa iaitu Body Shop, suatu hari nanti.

Menurutnya lagi, meskipun mendapat tentangan keluarga pada awal kemunculan dulu tetapi dia kini berjaya membuktikan komitmennya terhadap bidang perniagaan, apatah lagi mendapat sokongan suami tercinta.

Kini, jenama Purebysafiyyahosman sudah menembusi pasaran Singapura dan bakal menjengah ke pasaran Brunei dan Indonesia tidak lama lagi.

Nur Safiyyah menambah, dia berharap jenama berkenaan mampu menguasai pasaran Asia Tenggara dan berdiri sebaris dengan jenama antarabangsa yang lain dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun dari sekarang.