Polis Pulau Pinang berjaya melumpuhkan sindiket curi motosikal membabitkan dua kumpulan yang dianggap terbesar apabila tujuh lelaki warga tempatan ditahan polis di Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara pada minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, berdasarkan siasatan, sindiket pertama yang dikenali sebagai Geng Syahir berjaya dikesan pada 25 Mei lalu apabila dua lelaki berusia 21 dan 23 tahun ditahan di sebuah rumah di Tasek Gelugor.
Advertisement
Menurutnya, berdasarkan siasatan kedua suspek bekerja sebagai pekerja kilang dipercayai menjadikan aktiviti jenayah mencuri motosikal untuk mendapatkan wang mudah dan mereka dipercayai aktif sejak April lalu membabitkan kawasan daerah Timur Laut dan Barat Daya.
"Modus operandi mereka cukup licik apabila setiap motosikal yang dicuri akan dibawa balik ke rumah sebelum dileraikan untuk diambil beberapa komponen berharga untuk dijual manakala rangka motosikal pula akan dibuang ke dalam Sungai Dato Keramat, Tasek Gelugor.
"Soal siasat ke atas suspek akhirnya membawa kepada penemuan enam rangka motosikal di dalam sungai dan tiga daripadanya dilaporkan hilang di daerah Timur Laut," katanya pada sidang media di IPD Timur Laut, semalam.
Anuar berkata, pihak polis turut membongkar satu lagi sindiket curi motosikal membabitkan Geng Pak Tam apabila lima lelaki berusia antara 19 sehingga 21 tahun ditahan polis di Tasek Gelugor, Jumaat lalu. Berdasarkan siasatan, kelima suspek itu bergiat aktif mencuri motosikal di daerah Timur Laut dan Barat Daya sejak Januari lalu dan pemeriksaan sama turut dilakukan di rumah mereka sebelum menemui beberapa komponen serta rangka motosikal.
Lebih mengejutkan, polis berjaya menahan suspek utama sindiket berkenaan dan orang tengah masing-masing berusia 20 tahun terbabit dalam urusan jual beli motosikal dan komponen motosikal sebelum rangka dibuang ke dalam Sungai Kereh dan Sungai Jarak.
Polis kemudian menemui 47 rangka motosikal di dalam rumah dan juga di dalam sungai dan ke semua rangka motosikal dan hasilnya, lima rangka yang ditemui bersangkutan kes curi motosikal yang berlaku di daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.
Kesemua suspek masih lagi ditahan reman dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu curi motosikal dan sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun atau melebihi tujuh tahun atau denda.