Laungan ‘Glory Glory Man United’ nampak gayanya bakal bergema di Kuala Lumpur apabila satu acara besar-besaran dan paling dinantikan bakal berlangsung tidak lama lagi.

Jika sebelum ini New York, Amerika Syarikat dan Mumbai, India menjadi persinggahan jelajah berkenaan, kini tiba giliran penyokong Manchester United (MU) di Malaysia pula menunjukkan taring mereka.

Acara gilang gemilang yang menghimpunkan kesemua penyokong MU di Malaysia dikenali sebagai #ILoveUnited akhirnya bakal diadakan di Berjaya Times Square pada 10 Mac ini.

Kemunculan #ILoveUnited pastinya berita baik untuk penyokong MU yang sudah lama menantikan detik acara ini.

DIBUKA SECARA PERCUMA

Akhirnya acara ini bakal berlangsung di Malaysia.
Menariknya mengenai #ILoveUnited ini, ia dibuka secara percuma untuk kesemua penyokong MU.

Penyokong akan bersama-sama menyaksikan siaran langsung perlawanan MU menentang kelab Liverpool pada tarikh berkenaan.

Namun, bukan itu saja yang ditawarkan pada siri jelajah #ILoveUnited kerana ada penampilan istimewa daripada duta MU iaitu Dwight Yorke dan Dennis Irwin serta lagenda MU, David May!

Ketiga-tiga bintang MU ini akan hadir bertemu peminat tempatan di sini dan pada masa sama memberi pandangan dan membuat analisis perlawanan tersebut.

Malah, peminat juga akan dihiburkan dengan acara hiburan dan peraduan yang mana mereka berpeluang memenangi 'trip' VIP ke Old Trafford.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Manchester United, Richard Arnold, pihaknya teruja untuk menganjurkan tayangan siaran langsung perlawanan buat pertama kalinya di negara ini.

Kelab MU mempunyai hubungan dan persefahaman yang baik dengan Malaysia dan pihaknya gembira mengadakan acara berkenaan.

“Acara #ILOVEUNITED pastinya akan menjadi acara yang tidak akan dilupakan penyokong yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan media.

DAFTAR SEGERA SEBELUM TERLAMBAT

Jangan lupa Sabtu,10 Mac ini di Berjaya Times Square.
#ILOVEUNITED adalah acara percuma kepada semua dan peminat United yang berminat diminta untuk memohon secara talian tiket masuk dengan melayari 'link' ILOVEUNITED ini sebelum 12 tengah malam, 4 Mac.

Setiap permohonan kemudiannya akan diundi dan tiket dikeluarkan secara rawak. Permohonan yang berjaya akan dimaklumkan menerusi emel tidak lewat dari 6 Mac.

Bagi peminat yang telah pun mendaftar secara rasmi ahli kelab penyokong rasmi Official Manchester United, mereka diberi jaminan untuk mendapat tiket kemasukan ke acara tersebut dengan memasukkan nombor keahlian semasa proses permohonan.