SKOP
Guna Pisau Pemotong Daging Tetak Depan Pagar Rumah
Satu video menjadi tular di media sosial memaparkan seorang lelaki menetak seorang lelaki lain di hadapan pagar sebuah rumah menarik perhatian netizen baru-baru ini. Rakaman berdurasi 1 minit 15 saat itu menunjukkan mangsa mengalami cedera parah dan hampir maut selepas ditetak berulang kali oleh suspek.
Kejadian terbaru itu dipercayai berlaku jam 11 pagi kelmarin di hadapan sebuah rumah di Jalan Westland, Georgetown, Pulau Pinang membabitkan pergaduhan dua lelaki warga Myanmar yang bersenjatakan pisau pemotong daging.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, berdasarkan siasatan yang dilakukan mangsa berusia 27 tahun bekerja sebagai pekerja pencuci parah akibat cedera di bahagian kaki dan tangan, leher dan belakang serta putus separuh telinga kiri.
Menurutnya, siasatan mendapati punca sebenar kejadian pergaduhan itu masih belum diketahui. Mangsa dilaporkan parah dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan serta pemeriksaan lanjut. Polis juga menahan suspek berusia 28 tahun untuk siasatan lanjut.
"Polis turut merampas pisau pemotong daging dipercayai digunakan dalam kejadian itu selain suspek juga dilaporkan dalam keadaan trauma dan kini masih lagi ditahan reman polis untuk siasatan. Hasil siasatan mendapati kedua mereka bekerja di tempat sama sebelum ini, tidak pernah mempunyai apa-apa masalah dan tidak pernah bergaduh. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah," katanya.
Must-Watch Video