Tahukah anda bahawa minggu ini adalah minggu yang istimewa dan merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu ramai? Puncanya adalah kerana cuti persekolahan yang panjang bakal tiba hujung minggu ini!

Perkembangan ini juga menandakan bahawa kita sudah memasuki penghujung tahun 2017 dan sudah pasti ramai yang mengambil kesempatan ini untuk bercuti bersama keluarga dengan melancong ke luar negara.

Antara destinasi yang menjadi tumpuan kebanyakan orang kita adalah Jepun. Bukan sahaja keindahan semula jadi yang terdapat di negara tersebut yang menjadi tarikan tetapi juga keunikan budaya, teknologi, makanan serta cara kehidupan seharian masyarakat setempat di sana.

KISAH MESIN LAYAN DIRI

Salah satu perkara unik yang bakal anda sedari apabila berkunjung ke Jepun adalah terdapat begitu banyak 'vending machine' atau mesin layan diri. Anda hanya perlu berjalan beberapa langkah sahaja di kawasan bandar dan anda akan bertemu dengan deretan mesin layan diri yang panjang.

Mengikut angka yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengeluar Mesin Layan Diri Jepun, terdapat lebih kurang satu mesin layan diri bagi setiap 23 bilangan penduduk di Jepun. Nilai jualan tahunan industri tersebut pula dianggarkan melebihi AS$60 billion (RM251.42 billion).

Lebih menakjubkan lagi adalah ke semua mesin ini berada dalam keadaan baik dan amat sukar untuk kita menemui mesin yang menjadi mangsa vandalisme! Di Jepun, anda boleh temui pelbagai barangan yang dijual melalui mesin layan diri.

Rojak Daily Skop! senaraikan tujuh barangan 'pelik' yang anda boleh beli di mesin layan diri di Jepun:

1. ALAMAK LUPA ADA 'MEETING'!

Kadang kala kita terlewat bangun pagi dan dalam perjalanan ke tempat kerja, baru kita teringat yang kita ada temujanji atau mesyuarat penting pada hari tersebut. Sudah pasti kita mahu berpenampilan menarik tetapi akibat daripada situasi kelam-kabut pada pagi itu, kita terlupa untuk membawa tali leher.

Jangan risau kerana anda boleh membeli tali leher dengan mudah melalui mesin layan diri yang terdapat di serata bandar!

2. PAKAIAN DALAM PUN ADA?

Selepas kelam kabut nak pergi 'meeting' di siang hari, bagaimana pula keadaan apabila nak cari pakaian pada waktu malam? oh ya, bukan beli baju tapi pakaian dalam!

Golongan wanita di Jepun boleh membeli pakaian dalam dengan hanya dua langkah mudah iaitu memasukkan duit ke dalam mesin layan diri dan kemudian menekan butang pilihan!

Sebenarnya, kemudahan ini bukan terhad penggunaannya untuk waktu malam hari sahaja. Cuma agak pelik sedikit sekiranya anda membeli dan kemudian memakai pakaian dalam tersebut sebelum anda sampai ke rumah!

3. HASIL TANGKAPAN LUMAYAN

Pernahkah anda melihat permainan 'claw machine' di pusat arked di mana anda boleh mencuba untuk menangkap dan memenangi mainan yang comel sebagai hadiah?

Di bandar Osaka, anda boleh menjumpai mesin dengan konsep yang lebih kurang sama. Cuma, kali ini anda akan cuba menangkap udang lobster hidup yang segar sebagai habuan! Bayaran yang dikenakan pun agak murah iaitu sekadar 100 yen (RM3.70) sahaja bagi seekor udang lobster! Sangat berbaloi jika dapat bukan?

4. SEMUA NUTRISI YANG ANDA PERLUKAN

Jangan terkejut apabila anda boleh membeli tali leher dan telur hanya di mesin layan diri di Jepun.

Telur ayam merupakan makanan yang sangat berkhasiat. Ia menyediakan sumber protein yang baik di samping juga nutrisi lain yang diperlukan oleh badan anda seperti vitamin B2, B6, B12, D, zink, zat besi, copper dan selenium.

Jika anda gemar makan telur pada waktu pagi, jangan bimbang. Telur ayam mudah di dapati di serata Jepun kerana ia turut di jual melalui mesin layan diri. Namun, anda perlu berhati-hati agar ia tidak pecah kerana ia tidak dijual dalam kotak sebaliknya di dalam beg plastik atau jaring.

5. PERLINDUNGAN YANG ANDA PERLUKAN

Jangan salah sangka pula kerana perlindungan yang kami maksudkan di sini adalah perlindungan daripada cuaca hujan dan panas. Umum mengetahui bahawa kebanyakan penduduk di Jepun hanya berjalan dan menggunakan pengangkutan awam sahaja.

Maka sudah pasti payung menjadi satu alat yang penting. Mujur juga payung turut dijual di serata tempat di negara itu menerusi mesin layan diri. Sekiranya anda tidak mahu menggunakan payung bagi tujuan cuaca, anda boleh gunakannya untuk menjadikan diri anda lebih bergaya ala-ala pelakon filem 'Kingsman' mahupun penyanyi terkenal Rihanna!

6. NAK KUMBANG TAK?

Payung dan kumbang antara barang yang boleh dibeli dengan mudah di tepi jalan.

Tahukah anda bahawa mengumpul dan membela serangga hidup seperti kumbang, kunang-kunang, mentadak dan lain-lain lagi merupakan tradisi turun-temurun masyarakat Jepun?

Bagaimanapun, dengan habitat semula jadi serangga yang semakin terancam dan ditambah pula dengan faktor penduduk Jepun lebih ramai tertumpu di kawasan bandar, tradisi ini semakin sukar untuk diteruskan. Ini telah mendorong beberapa syarikat untuk menawarkan kumbang hidup kepada orang ramai yang dijual dengan harga 400 yen (RM14.78) seekor melalui mesin layan diri.

7. APABILA TERASA LAPAR

Pada zaman yang serba moden ini ramai yang tidak mempunyai masa untuk memasak. Oleh sebab itu, ramai yang membeli makanan di restoran terutamanya di tempat yang mempunyai kemudahan pandu lalu.

Memandangkan ramai rakyat Jepun yang tidak menaiki kenderaan persendirian, mereka tidak memilih kemudahan pandu lalu. Sebaliknya, mereka membeli makanan seperti sushi dan pelbagai makanan panas lain melalui mesin layan diri sahaja!

8. ANDA PERLUKAN HAIWAN SEBAGAI PENEMAN?



Roponggi adalah suatu wilayah di bandar Tokyo yang terkenal dengan penduduknya yang mewah dan berhibur pada waktu malam. Di sini juga terdapat mesin layan diri yang menjual anjing peliharaan yang comel.

Bagaimanapun, kebanyakkan mesin ini telah ditutup kerana dikhuatiri membahayakan kesihatan anjing-anjing tersebut tetapi masih terdapat beberapa mesin yang masih lagi beroperasi.

9. INI BARULAH DIKATAKAN SENI!

Menurut laporan terbaru daripada Mordor Inteligence, kopi merupakan minuman yang mendapat sambutan paling tinggi dalam kalangan negara membangun seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan sebahagian negara Eropah.

'Latte Art' pula adalah seni membuat lukisan pada bahagian buih minuman kopi serti latte dan cappuccino. Di Jepun, anda tidak perlukan barista untuk menyediakan seni tersebut pada minuman kegemaran anda ini. Mesin layan diri pun kini sudah mampu menghasilkan seni yang cantik seperti yang dapat di lihat di sini.

10. 'RAJA' SEGALA MESIN LAYAN DIRI

Nak sushi atau jika malas mesin layan diri pun boleh berjalan cari pelanggan sendiri.

Negara matahari terbit ini sememangnya terkenal dengan kemajuan teknologi dan inovasi yang tidak dapat disaingi kebanyakan negara lain di dunia. Maka tidak menghairankan juga, di Jepun terdapat mesin layan diri yang mampu berjalan di serata bandar!