Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Ingat Lagi Pada Rahima Orchient Yayah? Namanya Pernah Gah Di Era 90-an

Ashraf Wahab
05/10/2017 04:51 MYT
Muslimah bergaya di pentas fesyen bukanlah perkara pelik yang dipertontonkan kepada khalayak. Masih mengekalkan ciri sopan dan menutup aurat, fesyen konsep sebegini semakin mendapat perhatian ramai.

Malah, jangan terkejut jika 1,000 jenis jenama tudung di pasaran tetap mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli meskipun mereka sudah mempunyai banyak tudung di rumah!

Menurut laporan State of the Global Islamic Economy Report dari Thomson Reuters, pengguna Muslim di serata dunia membelanjakan AS$234 billion (RM989 billion) ke atas barangan berbentuk pakaian pada tahun 2015 sahaja. Angka tersebut dijangka akan mencecah nilai AS$484 billion (RM2,046 billion) menjelang tahun 2019.

Menyedari betapa lumayannya pasaran tersebut, beberapa jenama pakaian mewah seperti Chanel, Dolce and Gabbana, DKNY, Tommy Hilfiger, Burberry, Mango, Zara dan Oscar de la Renta mula memperkenalkan koleksi busana Muslimah mereka seperti tudung dan abaya.

Tidak ketinggalan juga adalah gedung pakaian terkemuka, Uniqlo yang mengeluarkan koleksi pakaian untuk orang ramai hasil kerjasama mereka dengan pereka Muslimah terkemuka, Hana Tajima.

Suasana yang sama turut dapat dilihat di Malaysia, di mana jenama busana Muslimah semakin banyak diperkenalkan. Namun, di sebalik lambakan pilihan yang ada, satu jenama dari negeri di bawah bayu, Sabah mula mencuri tumpuan.


BERDIRI SEBARIS JELITAWAN DUNIA DAN BINTANG BOLLYWOOD

Mungkin anda biasa mendengar nama seperti Tan Sri Michelle Yeoh, Datuk Yasmin Yusoff, Erra Fazira, Lina Teoh, Elaine Daly, Soo Wincci, Arianna Teoh, Kavita Sidhu dan Deborah Priya Henry. Para jelitawan ini semuanya pernah bergelar Miss Malaysia dan mewakili negara pada pertandingan ratu cantik berprestij dunia seperti Miss Universe ataupun Miss World.

Namun, di sebalik barisan jelitawan tempatan tersebut, kisah seorang wanita dari Tawau ,Sabah bernama Rahima Orchient Yayah mempunyai keunikannya tersendiri.

Pada tahun 1996, Majlis Fatwa Kebangsaan mewartakan larangan bagi orang Islam daripada menyertai sebarang pertandingan ratu cantik. Ini menjadikan Rahima yang pernah memenangi pertandingan Miss Malaysia World 1994, sebagai wanita beragama Islam terakhir bergelar Miss Malaysia.

Kisah Rahima tidak terhenti sekadar di situ sahaja. Ketika pertandingan akhir Miss World 1994 yang berlangsung di Sun City, Afrika Selatan, wanita tinggi lampai ini berjaya mengalahkan saingan daripada jelitawan luar negara dan berjaya memasuki kedudukan 10 peserta terakhir.

Pencapaian tersebut dianggap sungguh membanggakan kerana banyak forum mengenai ratu cantik di Internet menamakan edisi Miss World pada tahun tersebut sebagai antara yang paling sengit dalam sejarah!

Pendapat ini diperkuatkan dengan melihat kepada kredibiliti pemenang pertandingan tersebut. Ianya adalah tidak lain dan tidak bukan, Aishwarya Rai, yang kini sudahpun diangkat menjadi lagenda Bollywood.




WARISAN NEGERI DI BAWAH BAYU

Di sebalik kecantikan rupa paras yang dimilikkinya, mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa Rahima juga adalah seorang yang berpendidikan tinggi. Dia merupakan graduan dari Preston Universiti, Amerika Syarikat dan mempunyai ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).

Memandangkan minatnya yang mendalam terhadap dunia fesyen, Rahima pada Mac tahun lalu telah menubuhkan jenama busana Muslimah iaitu Orchient yang diinspirasikan dari namanya sendiri. Setakat ini, jenama Orchient mempunyai tiga buah butik iaitu di Kuala Lumpur, Tawau dan yang terbaru di Wisma Muis, Kota Kinabalu.

“Setakat ini sambutan yang diberikan adalah sangat-sangat memuaskan,” kata Rahima kepada Rojak Daily Skop!.

Kesemua rekaan pakaian di bawah jenama Orchient adalah diinspirasikan oleh warisan Borneo dan budaya Balkan. Malah, Rahima bukan sahaja mahu memperkenalkan Borneo kepada mata dunia tetapi membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Di samping memperkenalkan rekaan-rekaan terbaru yang dipamerkan di butik, Orchient juga memberi peluang kepada golongan ibu tunggal untuk berkerjasama dengan pihak Orchient Tailor. Ini bukan sahaja untuk memberi produk terbaik untuk pelanggan tetapi juga menjana pendapatan kepada golongan ibu tunggal tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Orchient juga berperancangan untuk memperluaskan jenama mereka ke negara barat seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Setelah mencipta kejayaan di pentas Miss World, tidak mustahil untuk Rahima dan jenama Orchient turut sama mendapat kejayaan di arena fesyen antarabangsa!
 
#Fesyen #Fesyen