Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Ini Antara 'Ubat Kampung' Mak Ayah Kita Yang Perlu Dipantau

Hanafis Haris
19/10/2017 08:13 MYT

Ubat berasaskan herba atau lebih mesra digelar ‘ubat kampung’ memang sudah lama menjadi pilihan alternatif sesetengah masyarakat di negara ini. Tidak dinafikan bahan berasaskan herba ini dikatakan mampu mencegah sesetengah penyakit tetapi pengambilan jenis ubat ini haruslah diteliti terlebih dahulu dan wajib mendapat kelulusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
 
Baru-baru ini status seorang pegawai farmasi dikenali sebagai Ammar Kamar menerusi Facebook miliknya tular apabila dia mendakwa beberapa jenis ubat ‘ajaib’ yang mempunyai bahan terlarang seperti steroid.

Menurutnya, pengambilan steroid berlebihan boleh menyebabkan nyawa terancam, sekali gus menjadikan sebahagian organ mengalami kerosakan serius. Sehingga kini status terbabit sudah menerima lebih 14,000 perkongsian oleh pengguna media sosial itu.


KESAL DENGAN FAHAMAN MASYARAKAT
 
Menurut pegawai farmasi terbabit, dia tergerak hati untuk memuat naik status berkaitan pengambilan ubat steroid selepas berdepan dengan situasi seorang pesakit yang mengalami ‘GI bleed’ atau pendarahan dalam perut. Masalah terbabit berkemungkinan berpunca daripada pengambilan ubat ubatan terlarang dalam tempoh jangka masa panjang.

Status itu kemudian mendedahkan pesakit berkenaan mengambil ‘ubat haram’ tidak berdaftar selama dua tahun selepas diperkenalkan oleh rakannya. Malah, ubat terbabit dipercayai mengandungi kandungan steroid. Ammar dalam statusnya kesal apabila masyatakat masih terpedaya dengan penjualan ubat telarang ini. Malah, 'scammer' ini masih berkeliaran dan masih terus memperdayakan orang ramai teramsuk 'ibu bapa' kita.

"Sekarang ni saya sarankan hentikan pengambilan dan hentikan pembelian. Buang terus stok yang ada di rumah." katanya.



BAHAYA STEROID KEPADA BUAH PINGGANG
 
Menurut laman sesawang KKM, steroid adalah hormon semulajadi yang dihasilkan tubuh badan manusia. Ia bertindak mengawal fungsi badan. Steroid dikategorikan sebagai racun terkawal dan pengambilannya adalah atas nasihat doktor.

Sebarang produk yang mengandungi steroid hendaklah didaftarkan dengan KKM. Sekiranya steroid disalah guna ia bukan saja merosakkan buah pinggang, pengguna steroid juga terdedah kepada risiko penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Pengambilan jangka masa panjang akan mengakibatkan tulang rapuh. Keadaan ini menyebabkan tulang seseorang itu tidak kuat dan mudah patah walaupun terkena hentakan perlahan.


 
SEMAK UBAT-UBATAN

Ammar berkata, masyarakat perlu lebih teliti berhubung kandungan di dalam setiap ubat-ubatan. Malah, anak-anak khususnya perlu memantau setiap pengambilan ubat oleh ibu bapa mereka. Selalunya, golongan warga emas inilah yang menjadi sasaran penjual dan pengasas produk haram.

Jika mahu mengambil ubat-ubatan kampung, pesakit boleh bertanya kepada ahli farmasi dan jangan ambil ubat sebarangan tanpa mengetahui status pendaftarannya.



Boleh semak status pendaftaran di laman rasmi National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA). Ini antara senarai ubat-ubatan mengandungi steroid yang sudah pun diharamkan kementerian.

#Kesihatan #Kesihatan