SKOP
Jangan Hanya Tunggu Hari Tua, Anda Boleh Memilih Simpanan Cara Ini
Mungkin masih ada yang tidak tahu mengenai Skim Persaraan Swasta (PRS) dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 19 Julai 2012 antara lain bertujuan memberi peluang kepada golongan pekerja dan mereka yang bekerja sendiri membuat simpanan persaraan secara sukarela.
Secara umumnya, PRS merupakan skim simpanan dan pelaburan jangka panjang yang direka bagi membantu rakyat Malaysia menambah simpanan untuk persaraan mereka.
PRS menyediakan pilihan sama ada mereka yang bekerja di bawah majikan mahupun yang bekerja sendiri menambah dana persaraan di bawah persekitaran yang berstruktur dan dikawal selia. Pencarum boleh memilih untuk melabur berdasarkan keperluan persaraan, matlamat pelaburan dan toleransi risiko sendiri.
Lapan penyedia dana itu adalah Affin Hwang Asset Management Berhad, AIA Pension and Asset Management Sdn Bhd, AmFunds Management Berhad, CIMB-Principal Asset Management Berhad, Kenanga Investors Berhad, Manulife Asset Management Services Berhad, Public Mutual Berhad dan RHB Asset Management Sdn Bhd.
CECAH SUKU JUTA AHLI
Pada 17 April lalu, PRS dilaporkan mempunyai 47,850 pencarum belia yang membentuk hampir 22 peratus daripada 221,434 jumlah keseluruhan ahli.
Pentadbir Pencen Swasta (PPA) dalam satu kenyataan baru-baru ini bagaimanapun mengumumkan organisasi itu telah pun mencapai jumlah keahlian PRS sebanyak suku juta pencarum.
Pencapaian itu disifatkan hasil peranan yang dimainkan semua pihak termasuk Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) selaku badan pengawal selia, PPA sebagai pentadbir pusat dan lapan penyedia PRS terlibat.
Selain itu, Insentif oleh kerajaan seperti pengecualian cukai tahunan bagi caruman secara individu (sehingga RM3,000) dan majikan (sehingga 19 peratus daripada pendapatan pekerja) serta insentif RM1,000 untuk ahli PRS dalam kalangan golongan muda juga membantu bagi membentuk tabiat menyimpan dalam PRS.
LETAK PENAMA JIKA BERLAKU KEMATIAN
Bagi menjana lagi pertumbuhan PRS, PPA mengambil insiatiff memperbanyakkan lagi kempen dan memperkenalkan lebih banyak perkhidmatan bagi menarik minat lebih ramai rakyat Malaysia menabung bagi keperluan persaraan.
Terbaru, PPA melancarkan proses Penamaan PRS pada 1 Ogos lalu bertujuan membolehkan pencarum PRS membuat penamaan bagi mempercepatkan proses pengeluaran PRS sekiranya berlaku kematian ahli PRS.
"Dokumen Penamaan ini akan menggantikan sebarang wasiat yang telahpun dibuat. Kami menjangkakan 20 peratus ahli PRS akan mendaftar penamaan mereka dalam tempoh 12 bulan ini.
"Penamaan mudah ini adalah simbol kesinambungan terhadap kasih yang anda berikan kepada yang tersayang," ujar Ketua Pegawai Eksekutif PPA, Husaini Hussin dalam kenyataan itu.
PENGELUARAN SEBAB MASALAH KESIHATAN
Husaini dalam pada itu menyatakan mana-mana Ahli PRS yang mengalami hilang upaya kekal, penyakit kritikal atau kecacatan mental kini boleh juga membuat pengeluaran penuh akaun PRS.
Perkhidmatan itu akan memudahkan capaian ahli PRS ke akaun mereka ketika keadaan yang memerlukan.
"Selain itu, pengeluaran penuh juga boleh dibuat sekiranya ahli PRS mencecah umur 55 tahun, berhijrah dari Malaysia atau disebabkan kematian. Untuk maklumat lanjut, layari www.ppa.my atau hubungi talian 1-300-131-772," katanya.
Ahli PRS juga boleh pergi ke mana-mana pejabat Penyedia PRS atau berhubung terus dengan Penasihat PRS masing-masing untuk urusan itu. Kini terdapat lebih 20,000 Penasihat PRS berdaftar di seluruh negara.
Must-Watch Video