Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

JDT Pertahan Ghaddar, Tak Jangka PKNS Guna Formasi 5-3-2

Sufiah Akmal
25/05/2017 08:26 MYT

"Ia bukanlah satu malam yang terbaik untuk Ghaddar (Mohammed Ghaddar) tetapi tidak mengapa," kata Ketua Jurulatih Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora.

Katanya, beliau tidak mengukur prestasi pemain dengan jumlah gol dijaringkan walaupun ia perkara yang perlu dilakukan oleh seorang penyerang.

Menurutnya, Ghaddar telah mencuba dengan baik, berlari, melibatkan diri di dalam kotak penalti dan membuat beberapa percubaan tetapi gagal mencipta jaringan.

"Dia akan membiasakan dirinya dengan rakan sepasukan yang lain. Dia seorang pemain yang baik dan akan menyumbatkan gol. Saya berpuas hati dengan aksi permainan Ghaddar malam ini," katanya dalam satu kenyataan ketika mengulas persembahan sulung Ghaddar bersama pasukan JDT pada perlawanan Liga Super 2017 menentang PKNS di gelanggang lawan, malam tadi.

Pemain kelahiran Lebanon berusia 33 tahun itu mendapat perhatian JDT selepas meledak 18 gol hasil daripada 12 penampilannya bersama skuad Kelantan musim ini. Kelibat pertama beliau bersama JDT malam tadi bagaimanapun dikritik sebilangan penyokong pasukan itu kerana dilihat tidak memberi impak seperti diharapkan.

Terdahulu, Mora menjelaskan, JDT berhadapan kesukaran menewaskan PKNS malam tadi kerana tidak menjangkakan pasukan itu  menggunakan formasi 5-3-2.

"Pada awal permainan, bahagian sayap mereka telah memberikan kami masalah. Kami menggunakan formasi 4-2-3-1 dan mengharapkan bahagian sayap kami dapat menyerang serta dapat mengawal permainan sepenuhnya. Saya kemudiannya menukar strategi kepada formasi 'diamond' dan ianya berkesan membantu kami menguatkan bahagian tengah," katanya.

#Bola Sepak #Bola Sepak