Skop
Jika Anda Cuba 8 Nasi Lemak Pelik Ini, Anda Memang Hebat!
Sebagai rakyat Malaysia, sudah pasti anda menggemari nasi lemak, bukan? Nasi yang dimasak di dalam santan ini kemudiannya dihidangkan bersama sambal, ikan bilis, kacang tanah, timun, telur dan boleh juga dipelbagaikan bersama lauk-pauk.
Ramai gemar makan nasi lemak dan atas sebab itu juga, ia dianggap sebagai hidangan rasmi yang membawa identiti Malaysia. Menariknya, hidangan tradisi ini bukan sahaja diminati masyarakat negara ini tetapi popular di peringkat antarabangsa apabila ia kini mula disenaraikan sebagai menu pelbagai restoran luar negara seperti di Hong Kong, Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat.
Tidak cukup setakat itu, nasi lemak juga membantu seorang rakyat Malaysia muncul johan sebuah pertandingan masakan realiti TV terkemuka iaitu Masterchef United Kingdom.
Sesuai dengan populariti nasi lemak, ramai kini berusaha membawa perubahan atau inovasi dengan menjadikan makanan ini lebih moden. Mereka menggunakan kreativiti menghasilkan resipi baru berasaskan nasi lemak.
Langkah ini mendapat pelbagai reaksi sama ada menyukainya tetapi ramai juga mengecam. Mereka marah kerana berpendapat keaslian nasi lemak sudah tercemar.
Berikut Rojak Daily Skop! senaraikan 8 hidangan berasaskan nasi lemak:
1. BURGER NASI LEMAK
Bermula pada 13 Julai lalu, rangkaian makanan segera terkemuka dunia iaitu McDonald’s mempekenalkan dua hidangan istimewa iaitu Burger Nasi Lemak dan Chendol McFlurry di semua cawangan mereka di Singapura.
Ramai yang terkejut sambil berasa teruja apabila mendengar sebuah syarikat gergasi industri makanan seperti McDonald’s menghasilkan menu barasaskan makanan tradisi rakyat Malaysia. Ia ditawarkan pada harga 'a la carte' iaitu S$5.95 (RM18.58). Burger unik ini menggabungkan ketulan ayam goreng, telur goreng, timun, bawang, sambal, dan roti burger.
Majalah TimeOut Singapore berpendapat ianya adalah satu hidangan yang ‘memuaskan’ tetapi, rakyat Malaysia yang mahu mencuba hidangan ini tidak perlu turun ke negara jiran itu untuk menikmatinya. Rangkaian membeli-belah Cold Storage Malaysia juga menawarkan versi burger nasi lemak mereka sepertimana diumumkan menerusi laman sosial, Facebook mereka baru-baru ini.
2. PIZA NASI LEMAK
Keenakkan makanan tradisi Itali dan Malaysia bertembung di dalam satu hidangan di restoran Brulee Brasserie. Bertempat di Casa Tropicana, Petaling Jaya, mereka menawarkan menu piza nasi lemak. Ia dijual pada harga RM11 yang mana piza ini mempunyai ‘topping’ seperti nasi, telur rebus, timun, kacang tanah dan ikan bilis.
Restoran ini juga menawarkan satu lagi hidangan piza berasaskan selera rakyat tempatan iaitu pizza sambal petai. Nampaknya selepas ini anda tidak perlu memilih antara selera kampung dan barat kerana ini adalah gabungan kedua-duanya.
3. AISKRIM NASI LEMAK
Biar betul? Nasi lemak yang terkenal dengan rasa pedas dan hangat dipadankan dengan aiskrim yang sejuk dan menyegarkan? Ini bukan lagi mimpi tetapi adalah suatu realiti. Aiskrim nasi lemak ini merupakan hasil inovasi seorang graduan rekaan grafik yang baru berusia 25 tahun iaitu Melissa Tan Chia Hui.
Dijual di Caffe Diem di Alor Setar, Kedah pada harga RM10, aiskrim ini akan ditabur dengan bahan-bahan yang biasa terdapat pada nasi lemak iaitu kacang tanah, ikan bilis, sambal, telur puyuh rebus dan juga timun.
Peniaga ini pernah menyatakan pada media, perkara yang paling sukar untuk dihasilkan ialah sambal kerana dia perlu membuat sambal kering yang mempunyai rasa pedas dan sambal terlalu berminyak sehingga tidak sesuai jika dicampurkan bersama aiskrim.
4. SUSHI NASI LEMAK
Seandainya anda sempat berkunjung ke Bangsar Shopping Complex, Kuala Lumpur, mungkin anda mahu singgah di restoran Ruyi & Lyn untuk mencuba hidangan unik dan istimewa mereka. Sushi nasi lemak yang terdapat di sini terdiri daripada nasi lemak yang dibungkus menyerupai bentuk sushi dengan menggunakan hirisan timun nipis.
Ianya kemudian dilengkapkan dengan ikan bilis, kacang tanah, sedikit sambal dan telur puyuh goreng. Restoran yang beroperasi dari jam 12 tengahari sehingga 12 tengah malam ini menghidangkan set enam buah sushi nasi lemak ini pada harga RM43.
5. SPAGETI NASI LEMAK
Jika tadi kita sudah diperkenalkan dengan kombinasi selera Itali dan Malaysia melalui hidangan pizza nasi lemak, kini kita boleh mencuba satu lagi hidangan hasil inspirasi makanan kedua negara tersebut. Restoran Lucky Bo yang terletak di Jalan Bangkung, Bangsar, Kuala Lumpur menjemput anda untuk mencuba resipi istimewa mereka, spageti nasi lemak.
Ditawarkan pada harga RM22, spageti ini dihidangkan bersama sambal, ikan bilis, kacang tanah, timun dan telur goreng. Namun, pastikan anda datang pada waktu makan tengahari kerana mereka hanya menyediakannya menu ini pada waktu tersebut sahaja.
6. 'CHEESECAKE' NASI LEMAK
Sekiranya anda berkunjung ke pusat peranginan Cameron Highlands, pastikan anda singgah di Sungai Palas BOH Tea Centre. Pelbagai hidangan boleh didapati di sini tetapi yang paling menarik perhatian adalah hidangan 'cheesecake' nasi lemak mereka.
Pencuci mulut ini dijual pada harga RM13.90 untuk satu hidangan tetapi tidak mempunyai sebarang nasi di dalam resipinya. Sebaliknya, ia adalah kek keju yang ditaburi ikan bilis, kacang tanah dan serbuk cili.
7. KITKAT NASI LEMAK
Jenama coklat kegemaran ramai iaitu KitKat telah pun membuka sebuah kedai di pusat membeli-belah Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur dikenali KitKat Chocolatory. Kedai ini membolehkan pelanggan mencuba kombinasi perisa KitKat mengikut citarasa mereka sendiri.
Antara perisa yang ditawarkan adalah kacang pistachio, hazelnut, buah kurma, kranberi, blueberry, buah oren, perisa ros dan pelbagai lagi. Malahan jumlah kombinasi perisa yang boleh dihasilkan adalah lebih kurang 10,000 kombinasi!
Mereka juga menawarkan KitKat edisi terhad iaitu perisa karamel kacang dan pisang, kopi latte bersama 'cookies & cream', dan juga perisa nasi lemak tradisional. KitKat perisa nasi lemak tradisional tersebut terdiri daripada coklat putih yang ditabur dengan serbuk cili, kacang dan kelapa. Ianya dijual pada harga RM12.90.
8. SERBUK TEH NASI LEMAK
Kita sudah biasa dengan nasi lemak sebagai makanan tetapi bagaimana pula apabila ianya dihidangkan sebagai minuman? Sebuah jenama serbuk teh daripada Singapura iaitu ETTE TEA COMPANY menawarkan pelbagai perisa teh dan diantaranya adalah perisa nasi lemak.
Kombinasi yang digunakan untuk mendapat perisa unik tempatan ini adalah gabungan dua jenis teh hijau iaitu houjicha dan genmaicha yang ditambah dengan serbuk kelapa, daun pandan kering, cili kering dan perisa tambahan. Bungkusan 50 gram dijual pada harga S$18 (RM56.26).
Minuman seperti teh dan teh hijau sudah dibuktikan secara saintifik sebagai minuman yang menyihatkan dan mampu membantu mengurangkan masalah berat badan. Maka, sudah pastinya perisa serbuk teh nasi lemak ini merupakan sesuatu yang menarik kerana nasi lemak dikenali sebagai makanan yang berat dan mampu menambahkan berat badan jika dimakan secara berlebihan.
HIDANGAN TRADISIONAL ATAU MODEN?
Selepas mengetahui lapan jenis nasi lemak gaya baru ini, apa pula pendapat anda mengenai hidangan-hidangan barasaskan nasi lemak yang moden dan unik ini? Adakah anda teringin mencuba kesemua ataupun salah satu daripadanya?
Ataupun anda merupakan seorang peminat nasi lemak sejati dan hanya akan menjamahnya dalam keadaan asli dan tradisional. Mungkinkah juga anda pernah terjumpa hidangan lain yang berasaskan nasi lemak? Apa pun kisahnya, yang pasti nasi lemak sudah mencapai tahap sebagai hidangan antarabangsa!