Beranikah anda jika hanya bergayut pada tali di ketinggian 239 meter dari paras laut atau berada setinggi 65 tingkat dari Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) Pulau Pinang?

Jika anda memang sukakan cabaran dan tidak gentar untuk berasa gayat, anda boleh mencuba satu lagi aktiviti menarik di The Gravityz yang menampilkan ‘The Gravityz Ropes Course Challenge’ yang tertinggi dan pertama di dunia.

Apa yang menarik perhatian pengunjung sebenarnya, ia bukan sekadar cabaran berada di tempat tinggi semata-mata tetapi bergayut menggunakan tali!

Di lokasi baru tarikan pelancong ini, pelbagai cabaran lain disediakan antaranya 'Confidence Path, A Great Bridge, Z Wire, X Point, High Bench' dan 'G Rocky'.

RASAI PENGALAMAN SENDIRI

Pengunjung juga boleh duduk sambil menikmati panaroma dari udara.

Lazimnya, dalam kalangan penggemar aktiviti atau sukan ekstrem seperti ini, sukar mencari lokasi yang menarik untuk memenui hajat berkenaan. Namun, adanya The Gravityz, ia seolah menjadikan impian satu kenyataan.

Menariknya, pengalaman seumpama ini tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja pada mereka yang sukakan cabaran lasak.

Rojak Daily Skop! berpeluang merasai sendiri pengalaman yang cukup mengasyikan dan menakjubkan ketika majlis perasmian The Gravityz membabitkan kos bernilai RM4 juta yang disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada Sabtu lalu.

Uniknya, The Gravityz menampilkan enam cabaran yang cukup eksklusif untuk pengunjung dengan caj bayaran antara RM90 sehingga RM399.

Berita baik buat penduduk Pulau Pinang sebab berpeluang memperolehi harga istimewa iaitu RM79 dan diberikan sehelai baju T eksklusif ,The Gravityz secara percuma.

TERUJA DI LUAR BANGUNAN, HIRUP UDARA SEGAR

Mungkin ia menjadi pengalaman seumur hidup anda apabila merasai cabaran sebegini.

Untuk merasai pengalaman menarik itu, setiap pengunjung boleh membeli tiket di aras 6 The Top, Komtar sebelum dibawa naik ke aras 65, menaiki lif oleh kakitangan The Gravityz.

Pengarah Eksekutif The Gravityz, J. Hong Low berkata, sejurus tiba di The Gravityz pengunjung berpeluang melihat klip video khas sebelum diberikan sesi taklimat keselamatan selama 15 minit sebelum dipakaikan peralatan khas.

Menurutnya, sejurus selesai sesi taklimat tersebut pengunjung akan dibawa ke kawasan cabaran pertama dan di situ keterujaan pengunjung bermula ketika berada di luar bangunan sambil menghirup udara segar dan menikmati panorama bandar raya Georgetown.

Jelasnya, berada di kawasan tersebut memberi cabaran pada setiap pengunjung yang akan diuji sama ada benar-benar takut atau sebaliknya.

Namun, jika bimbang tapi masih berani untuk melakukannya, pelatih The Gravityz yang cukup berpengalaman bersiap sedia membantu dan memberi kata-kata nasihat serta semangat.

“Usah risau soal keselamatan kerana The Gravityz menyediakan peralatan yang baik dan berkualiti tinggi dan pengunjung boleh menunjukkan kemahiran sebenar sama ada seorang yang berani atau tidak.

“Ketika itu anda berpeluang untuk mengayakan apa sahaja pada setiap cabaran sama ada duduk, bergayut dan berdiri di atas platform khas termasuk berpeluang bergayut pada tali sambil bermain mini flying fox,” katanya.

Aspek keselamatan pengunjung diutamakan ketika berada di The Gravityz.

Meskipun pengunjung berasakan tidak puas merasai pengalaman tersebut, ia pastinya menjadi satu usaha menarik bagi Pulau Pinang dalam menarik lebih ramai pengunjung yang dianggarkan seramai 20,000 orang ke The Gravityz pada tahun ini.

Bagi pengunjung yang ingin membuat tempatan tiket boleh melayari laman sesawang rasmi, www.thegravityz.com.

Waktu operasi: Setiap hari (10 pagi hingga 6 petang)
Alamat: The Gravityz, The Top @ Komtar, 10000 Georgetown, Pulau Pinang.