Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Jumlah Kereta Klon Terus Meningkat

Sufiah Akmal
23/05/2017 07:49 MYT

Memiliki kereta pastinya memberi kemudahan pada pemilik. Namun, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan selidik terlebih dahulu sekiranya ada pihak mahu menjual kereta pada harga sangat rendah.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sembilan, Azrin Borhan menyatakan jumlah kereta klon ini terus meningkat sebanyak 82 kereta klon yang disita JPJ Negeri Sembilan dalam tempoh tiga tahun sejak 2015.

"Sebanyak 18 buah kenderaan disita pada 2015 dan ia meningkat kepada 56 buah kenderaan, manakala sehingga Mei lalu lapan kereta disita. Lapan kenderaan klon itu membabitkan kereta jenis Toyota dan Honda yang dianggarkan bernilai RM350,000," katanya pada program lelongan awam kenderaan oleh JPJ Negeri Sembilan di Seremban, baru-baru ini.

Sebagai langkah selamat, Azrin menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dan membeli kenderaan klon yang merupakan satu kesalahan di negara ini.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati. Jika ada kemusykilan boleh rujuk dengan pihak JPJ terlebih dahulu.

"Pemilik kereta klon boleh disiasat di bawah Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memiliki kenderaan tidak didaftarkan yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 jika sabit bersalah," katanya.

Sementara itu, nilai tertinggi dalam lelongan awam tersebut merupakan sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ bernilai RM4,650 manakala nilai terendah adalah sebuah motosikal Suzuki RC yang dibida pada harga RM100.

Jumlah keseluruhan kenderaan yang dilelong sebanyak 50 buah melibatkan nilai lelongan RM55,550 dan sesi lelongan itu disertai seramai 40 pembida.

#Kereta Klon