Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Jururawat, Pembantu Kesihatan Paling Tinggi Kemalangan Akibat Mengantuk

Sufiah Akmal
01/06/2017 03:21 MYT

Memandu kenderaan dalam keadaan penat meningkatkan risiko terbabit dalam kemalangan jalan raya. Tidur tidak mencukupi ini disebabkan pelbagai faktor termasuk sosial, persekitaran, pekerjaan dan kesihatan.

Kebelakangan ini, isu kemalangan jalan raya membabitkan doktor dan kakitangan hospital kerajaan mendapat perhatian ramai terutama kemalangan berulang alik dari tempat kerja ke rumah dan dari rumah ke tempat kerja.

Berdasarkan data jumlah kemalangan berulang-alik dalam kalangan kakitangan hospital kerajaan pada tahun 2014 sehingga 2016 disediakan Kementerian Kesihatan, sebanyak 554 kes kemalangan jalan raya dilaporkan. Sebanyak 295 kes itu melibatkan jururawat, pembantu kesihatan (91), penolong pegawai perubatan (35), pegawai perubatan (35), pemandu (31), pembantu penyediaan makanan (15) dan lain-lain (52).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hospital kerajaan menawarkan perkhidmatan kesihatan berterusan selama 24 jam, maka menjadi lumrah pada kakitangannya bekerja di luar waktu kerja biasa.

Bagaimanapun, beliau menyatakan terdapat pelbagai kemudahan disediakan untuk mereka termasuk peruntukan berhubung perkara itu berdasarkan pekeliling dikeluarkan untuk memberi kelonggaran tertentu kepada kakitangan hospital kerajaan.

Jelasnya, ia masih berdasarkan kepada budi bicara ketua jabatan masing-masing dan tertakluk kepada keperluan perkhidmatan di hospital.

Sehubungan itu, sebagai langkah pencegahan berterusan, Kementerian Kesihatan berganding bahu dengan agensi berkaitan termasuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Badan Bukan Kerajaan untuk menangani isu berkenaan.

"Semua anggota Kementerian Kesihatan disarankan mengambil berat tentang keselamatan diri mereka dan mengamalkan budaya pemanduan selamat terutamanya selepas tugasan diselesaikan.

"Jika kelesuan atau mengantuk, mereka disarankan mengambil masa berehat atau tidur sebentar sebelum memandu. Ini bagi memastikan mereka dapat memandu dengan selamat semasa dalam perjalanan pulang ke pangkuan keluarga tersayang," katanya dalam satu kenyataan.

#Kemalangan #Kemalangan