Setiap jenis karya lukisan itu berbeza-beza mengikut keselesaan dan kemahiran seseorang invidivu.

Bagi lukisan contengan atau lebih dikenali 'doodle' ini, ia mempunyai maksud abstrak dan berada dalam kelasnya tersendiri.

'Doodle' boleh diterjemahkan sebagai lakaran contengan ringan yang kebanyakannya menjurus ke arah lukisan landskap, corak geometri mahupun animasi yang ringkas.

Tidak terlalu terperinci berbanding jenis lukisan lain, 'doodle' lebih kepada penghasilan sebuah jalan cerita yang ringan.

'Doodle' juga dilihat sebagai hobi baru generasi muda bagi mengisi masa lapang mereka. Kita boleh lihat lukisan 'doodle' ini memenuhi ruang dinding yang dahulunya mungkin dimonopoli oleh hasil grafiti.

GUNA PEN 'MARKER' TERPAKAI

Mee kolok, burasak, dimsum, antara makanan yang ditulis di dalam karya ini.
Terbaru, karya seorang guru yang menghasilkan 'doodle' di sekolah tempatnya mengajar menjadi tular dan bualan di media sosial.

Guru yang dikenali sebagai Que Sera Sera di Facebook ini merupakan guru bahasa Inggeris dan penghasilan 'doodle' di dinding luar kelas itu pula adalah atas permintaan guru Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).

Memang menjadi hobinya untuk menghasilkan karya lukisan khususnya aktiviti menconteng atau ‘doodle’ setiap kali mempunyai masa lapang.

“Alhamdulillah, Allah SWT beri idea untuk berkarya. Bila waktu lapang baru pergi hilangkan stres di dinding,” katanya di Facebook.

Menarik mengenai karya guru ini, segala hasil ‘contengan’ di dinding itu hanya menggunakan pen ‘marker’ yang telah digunakan.

Hampir 20 batang pen yang masih mempunyai dakwat digunakan sepenuhnya melukis di dinding.

Selain itu, lukisan guru ini dikatakan mengambil masa lebih satu bulan. Ia disiapkan mengikut kelapangan guru berkenaan.

MENDAPAT PUJIAN NETIZEN

Doodle, cara guru ini berkarya.
Sehingga kini, gambar yang dimuat naik guru ini telah dikongsi sebanyak 2,385 serta menerima 9,400 ‘likes’ daripada pengguna Facebook.

Malah, ada yang netizen yang turut berminat menggunakan khidmat guru berkenaan untuk menghasilkan 'doodle' di tempatnya.


Bagaimanapun, guru itu memberitahu dia tidak pernah menjalankan apa jua perniagaan penghasilan 'doodle' sebaliknya ia dilakukan sekadar hobi semata-mata.

Anda juga boleh lihat video penghasilan 'doodle' berkenaan di YouTube guru ini.