Siapa yang tidak menggemari komik bukan? Tambah lagi jika jenaka komik terbabit dekat dengan pemikiran dan keadaan sekeliling.

Jika dulu majalah komik APO?, Gila-Gila, Ujang banyak menghiburkan remaja dan kanak-kanak tetapi kini kegemilangan itu nampaknya semakin berlalu pergi.

Tiada lagi majalah komik yang mampu menggantikan mereka mahupun menandingi kehebatan jenaka yang dipersembahkan ketika itu.

Bagaimanapun, baru-baru ini beberapa keping gambar hasil ciptaan seorang kartunis ini menjadi tular apabila ia kembali dimuat naik oleh sebuah laman Facebook yang lain.

Menariknya, ia telah mengembalikan nostalgia netizen apabila karya dihasilkan memaparkan aktiviti dan kelakuan yang berlaku sekitar 90-an dahulu.

JENAKA ZAMAN DULU-DULU

Kenangan ketika telefon awam menjadi medium komunikasi paling penting.
Bagi yang lahir pada zaman milenium mungkin tidak memahami atau merasai pengalaman begini. Namun jika anda faham, mungkin anda akan tersenyum melihat hasil karya kartunis ini.

Antara yang menarik perhatian adalah babak beberapa lelaki beratur untuk menunggu giliran menggunakan telefon awam.

Malah, jika di asrama pasti ramai beratur dengan membawa duit syiling. Sayangnya zaman sekarang, telefon awam sudah dilupakan.

Pernah bakar kertas begini?
Gambar lain yang menarik perhatian adalah babak seorang gadis membakar kertas menggunakan lilin.

Mungkin ada di antara anda yang melakukan perkara ini ketika dulu kerana ia trend dalam kalangan pelajar sekolah menengah sama ada lelaki mahupun perempuan.

Bagi jejaka pula pasti tersenyum melihat karikatur memaparkan pelajar sekolah dengan trend rambut sikat tengah dan seluar lebar pada bahagian bawah.

Rambut sikat tengah dan pakai seluar lebar. Anyone?
Tidak lupa penggunaan filem dalam kamera untuk mengambil gambar. Kini ia sudah digantikan kamera digital dengan penggunaan memori kad.

Selain itu, pasti ramai yang mengimbau kenangan menggunakan kaset dan radio ketika zaman dulu.

Tidak kurang juga yang menggunakan pensil untuk memusingkan tali kaset dan menjemur bateri dengan harapan supaya bateri dicaj penuh.

TURUT HASILKAN KALENDAR

Banyak lagi kenangan yang dibangkitkan menerusi karya kartunis ini. Anda boleh klik Facebook Stokin Tidur untuk melihat banyak lagi karya menarik.

Bukan hanya karya bertemakan zaman lalu, malah turut memfokuskan senario zaman sekarang.

Malah, kartunis ini turut menyediakan kalendar yang dihasilkannya sendiri untuk kegunaan anda. Menariknya, anda boleh cetak untuk hasilkan kalendar ini.

Bagaimanapun kalendar untuk tahun 2018 masih belum kelihatan dan mungkin anda boleh tunggu pengumuman kartunis ini di Facebook.