Pernahkah anda mengalami situasi kereta di hadapan anda secara tiba-tiba bergerak perlahan dan adakalanya terhuyung hayang ke kiri dan ke kanan? Jika ya, mungkin anda berhadapan dengan situasi yang mana pemandu terbabit sedang menggunakan telefon pintar.

Mungkin bagi sesetengah daripada pemandu beranggapan tabiat sedemikian sudah menjadi kebiasaan. Pantang saja menerima notifikasi WhatsApp, pasti dicapainya telefon pintar.

Namun, di sebalik keseronokan membalas mesej itu, tahukah anda risiko kemalangan akibat menggunakan telefon pintar adalah enam kali ganda!

Satu kajian dilakukan pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mendapati kelajuan kenderaan boleh meningkat dalam tempoh lima saat jika memandu sambil menggunakan telefon pintar. Ia sekali gus meningkatkan kadar kemalangan yang berisiko membawa maut.

Anda mungkin akan memandu lebih laju ketika membalas mesej.

Ketua Pengarah JKJR Datuk Rosli Isa menegaskan penunggang motosikal dan pemandu kereta yang memandu dengan kadar kelajuan melebihi 70km/j sebenarnya sudah terdedah dengan risiko kemalangan maut. Namun,k sekiranya menggunakan telefon pintar, ia akan menjadi lebih berbahaya.

“Penunggang boleh tercampak jauh manakala pemandu akan tersepit selain cedera parah yang mengakibatkan maut kerana mereka tidak fokus pada pemanduan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

JUMLAH SAMAN MENINGKAT

Sepanjang tahun lalu lebih 46,000 saman dikeluarkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan menggunakan telefon pintar. Malah, jumlah terbabit meningkat 4,000 daripada jumlah saman yang dikeluarkan pada 2015.

Untuk makluman, kesalahan menggunakan telefon pintar ketika memandu boleh didakwa di bawah Sekyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika didapati bersalah, pemandu tersebut boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300.

Kamera AES ini sentiasa memantau kelajuan anda!

Jika anda yang masih degil dan mengamalkan tabiat ini, anda harus peka dengan sistem kawalan yang diguna pakai oleh kerajaan. Pemerkasaan sistem demerit dan pemasangan kamera Sistem Pe­nguatkuasaan Automatik (AES) antara yang menanti pesalah lalu lintas.

Oleh itu, cubalah belajar untuk ketepikan telefon pintar buat seketika. Jika perlu jawab panggilan ketika kecemasan, gunalah ‘earphone’. Bukan saja menyenangkan, malah perbualan anda akan lebih jelas.