Sudah menonton filem Avengers Infinity War? Jika belum pastikan anda menonton filem ini segera sebelum pelbagai ulasan daripada rakan anda muncul tanpa diduga.

Apa yang pasti selepas ditayangkan bermula 25 April lalu, filem ini telah meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadap peminat Marvel Cinematic Universe (MCU).

Anda boleh lihat impaknya di media sosial Facebook mahupun Twitter.

KUTIPAN CECAH RM2.4 BILION

20 adiwira dalam satu filem!
Fenomena filem Avengers Infinity War bukan hanya berlegar-legar di media sosial, malah ia dibuktikan dengan kutipan yang dicatatkan seluruh dunia.

Filem ini berjaya meraih kutipan hujung minggu pertama mencecah AS$630 juta (RM2.4 bilion), sekali gus mendapat pencapaian global tertinggi dalam sejarah perfileman.

Menurut pemerhati industri Exhibitor Relations, filem adaptasi Marvel terkini itu dibuka dengan kutipan tertinggi dan terbesar dalam sejarah filem.

Malah ia adalah hasil tanpa membabitkan negara China.

“Ia mendahului filem ‘The Fate of the Furious,’ yang dibuka dengan kutipan lebih daripada AS$530 juta (RM2 bilion) di seluruh dunia pada 2017,” katanya.

TERTINGGI DI AMERIKA SYARIKAT DAN KANADA


Kejayaan filem Avengers Infinity War tidak terhenti di situ kerana ia turut memecahkan rekod pembukaan hujung minggu tertinggi di Amerika Utara dengan kutipan pecah panggung AS$250 juta (RM978 juta) di Amerika Syarikat dan Kanada.

Ia menewaskan filem ketujuh dalam saga ‘Star Wars’ iaitu ‘The Force Awakens’ dengan kutipan pembukaan hujung minggu AS$248 juta (RM971 juta) pada 2015.