Tahukah anda setiap tahun akan berlangsungnya Pameran Pengguna Elektronik (CES) yang mengumpulkan kebanyakan syarikat teknologi seluruh dunia?

Pameran ini menjadi platfom utama syarikat gergasi serta yang baru ditubuhkan untuk mempamerkan produk terbaru dan terhebat mereka. Setiap tahun CES menerima antara 170,000 pengunjung dari seluruh dunia.

Tahun ini CES akan bermula pada 9 sehingga 12 Januari di Pusat Konvensyen Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat (AS). Seperti biasa, CES tidak banyak menyaksikan kehadiran telefon pintar. Namun, tidak mustahil ada pengeluar yang membuat kejutan pada pameran tersebut.

Apa yang menarik perhatian, pada tahun ini bakal menyaksikan pelbagai hasil teknologi diperkenalkan termasuk Drones, AS/VR, audio, kenderaan pintar dan juga perkakas rumah berasaskan 'Internet of Things' (IOT).

Antara nama besar yang menyertai pameran ini adalah Google, Amazon, Samsung, LG, ASUS, Sony, Huawei dan banyak lagi. Ini antara beberapa produk baru yang bakal dipamerkan pada acara CES 2018.

Berikut adalah beberapa produk yang dipromosikan kepada pengunjung sempena acara ini berlangsung:

1. SAMSUNG

Khabar angin mengenai kemunculan Galaxy S9 pada CES 2018
Menurut laporan terbaru, Samsung berkemungkinan akan mengumumkan tarikh pelancaran ‘flagship’ telefon pintar terbaru mereka iaitu Galaxy S9.

Namun, berdasarkan jangkaan itu, hanya tarikh atau video ‘teaser’ saja yang akan diumumkan. Majlis pelancaran Galaxy S selalunya dibuat berasingan di tempat dan dewan yang lebih besar.

Bagi CES ini, Samsung dijangka mempamerkan beberapa model pertengahan termasuk Galaxy A8 dan A8 Plus sahaja.

Selain itu, komputer riba Chromebook Ppro mungkin akan diumumkan sebagai pesaing kepada Google Pixelbook.

2. ASUS
Rojak Daily Skop! pernah mengeluarkan berita kemunculan ZenFone Max Plus M1 pada bulan lalu. (Baca lagi: Lima Ciri Menarik ASUS ZenFone Max Plus Boleh Tarik Perhatian 'Kaki Travel').

Bagi CES 2018, telefon pintar ini dibawa masuk ke pasaran AS. Menampilkan fungsi menyeluruh termasuk bateri sebesar 4,130 mAh, telefon ini dijangka laris di pasaran berkenaan.

Selain itu, ASUS dijangka mempamerkan beberapa komputer riba baru dibawah siri ROG termasuk Strix SKT T1 Hero Edition laptop, Strix GL12 desktop and Strix Flare mechanical keyboard.

Ada lagi, Asus ZenBook 13 (UX331UAL), ASUS X507, Vivo AiO V272 dan Vivo AiO V222 turut membuat debut di CES 2018.

3. HUAWEI

Jika Huawei popular di Asia Tenggara tetapi hakikatnya ia tidaklah terlalu dikenali di AS.

Sehubungan itu, Huawei dijangka melancarkan telefon terhebat mereka iaitu Huawei Mate 10 Pro untuk pasaran di sana.

4. LG
Telefon pintar 'flagship' LG G7 mungkin tidak diumumkan pada CES 2018 sebaliknya, LG lebih menumpukan kepada produk pembesar suara yang dikuasakan pembantu digital ‘Google Assistant’.

Berkemungkinan ia akan diletakkan di bawah jenama ThinkQ.

Namun kekuatan LG sudah tentunya pada keluaran televisyen mereka. Lihatlah saja video produk terbaru mereka ini. Canggih bukan!

5. GOOGLE INC
Pastinya ramai berharap Google akan mengeluarkan produk hebat pada tahun 2018.

Namun, ia mungkin tidak terjadi pada pameran CES sebaliknya, pada acara besar mereka, Google I/O yang akan diadakan pada penghujung tahun.

Bagaimanapun, syarikat gergasi ini dijangka memfokuskan kepada pembantu digital mereka iaitu Google Assistant dan juga Pixelbook.

Malah, Google telah pun mengumumkan Google Assistant akan dibawa masuk ke Android Auto. Ini bermakna anda boleh mengawal apa saja yang disokong melalui kereta anda.

6. AMAZON



Pesaing utama Google dalam sektor perkakas digital adalah Amazon. Belum reda 'perang' antara mereka membabitkan model Alexa dan Google Home, Amazon muncul dengan beberapa lagi produk yang membawa keupayaan pembantu digital.

Antaranya adalah Garmin Speak Plus yang bertindak sebagai ‘dash cam’ kereta anda. Selain berfungsi sebagai kamera, gajet ini akan memberitahu anda maklumat trafik dan cuaca ketika dalam perjalanan.

Selain itu, Amazon juga dijangka melancarkan cermin mata ‘augmented reality’ atau AR yang digelar sebagai Vuzix.

Tidak pasti sama ada masih dalam prototaip atau tidak tetapi ia amat dinanti-nantikan semua peminat ‘tech’. Bayangkan menerusi lensa kaca mata anda, pengguna akan disajikan visual peta, maklumat sukan, cuaca harian dan maklumat semasa.

7. AUDIO


Selain alatan elektronik yang sedia ada, CES turut menyaksikan sebahagian pengeluar audio menyertai komuniti ini.

Antara yang diperkenalkan adalah model Jabra Elite 65t & Jabra Elite Active 65t, JBL Reflect Mini 2 dan Reflect Contour 2.

Dalam pada itu, Harman Kardon Allure Portable yang menyokong pembantu maya Alexa turut dipamerkan.

8. VIVO

Telefon pertama yang mempunyai pengimbas cap jari bawah panel? Nantikan.

Sejak tahun lalu, ramai yang menunggu kehadiran pengimbas cap jari dibawa panel skrin telefon pintar.

Bukan Apple, Samsung mahupun Huawei yang bakal muncul sebagai telefon pintar pertama membawa teknologi itu sebaliknya Vivo!

Telefon pintar ini dijangka diumumkan pada 10 Januari iaitu esok di CES 2018! Mesti ada yang teruja untuk menyaksikannya.