Skop
Lebih 10 Kenderaan Edisi Khas Sultan Johor Dipamerkan di MBW 2018!
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sememangnya dikenali sebagai pengumpul kenderaan antik dan klasik.
Tidak dilupakan koleksi motosikal berkuasa tinggi. Baginda sememangnya mahir mengendalikan motosikal berkuasa tinggi ini.
Buktinya baginda pernah beberapa kali menunggang Harley-Davidson kegemaran yang dimiliki sejak 2002 dalam penjelajahan Kembara Mahkota Johor (KMJ).
Selain itu motosikal, trak Mack juga antara yang dikagumi ramai. Siapa boleh lupa kemunculan pertama trak Mack beberapa tahun lalu dalam KMJ.
Bagaimanapun, kesemua koleksi ini selalunya ditampilkan dalam jumlah yang terhad. Jarang untuk kita lihat koleksi kenderaan baginda dalam satu-satu masa.
HARLEY-DAVIDSON CORAK HARIMAU
Namun jika anda yang teringin untuk melihat koleksi baginda secara lebih dekat, kini anda mungkin berpeluang!
Pada 24 Mac ini, Sultan Ibrahim akan berkongsi kisah nostalgia motosikal berkuasa tinggi yang dimiliki Baginda pada Minggu Permotoran Malaysia 2018 (MBW 2018).
Program jambori permotoran terbesar negara di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.
Antara yang dikatakan mencuri tumpuan adalah Motosikal Harley-Davidson yang bercorak harimau.
Motosikal ini antara kegemaran baginda!
“Motosikal bercorak harimau itu mempunyai sejarah nostalgia yang tersendiri dan saya akan ceritakan ketika menyampaikan titah ucapan pada program itu,” titah Tuanku Sultan Ibrahim.
TRAK MACK TURUT MEMBUAT KEMUNCULAN
Selain Harley-Davidson bercorak harimau, Tuanku Sultan Ibrahim turut berkenan mempamerkan enam lagi koleksi motosikal berkuasa tinggi, Trak Mack, bas, kereta beroda tiga Morgan yang digunakan dalam KMJ tahun lalu, dan beberapa kenderaan pacuan empat roda.
Program MBW 2018 bakal menghimpunkan penunggang motosikal pelbagai kategori dan jenama dari luar dan dalam negara iaitu Superbike, Easy Rider, kapcai, klasik, Vespa dan Lady Bikes.