SKOP
Letusan Gunung Agung Turunkan Suhu Bumi? Ini Lima Perkara Anda Perlu Tahu!
Sabtu lalu kita digemparkan mengenai kejadian Gunung Agung di Bali, Indonesia yang meletus buat kali kedua dalam tempoh seminggu. Asap dikeluarkan dikatakan setinggi, 1,500 meter.
‘Kemarahan’ gunung ini juga menyebabkan 16 penerbangan yang dijadualkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai terpaksa dibatalkan.
Akibatnya, kira-kira 2,000 penumpang terkandas di lapangan terbang tersebut termasuk syarikat penerbangan Jetstar, KLM, Qantas dan Virgin Air. Buat masa ini keadaan masih tidak selamat untuk kapal terbang kembali beroperasi dan dijangka berlanjutan sehingga Khamis ini.
Di sebalik kejadian ini tahukah anda Gunung Agung ini sebenarnya mempunyai sejarah hitamnya tersendiri yang mungkin tidak ramai yang tahu.
Rojak Daily Skop! senaraikan lima perkara menarik anda perlu tahu:
1. TERAKHIR MELETUP 53 TAHUN LALU
Kali terakhir Gunung Agung ini meletup adalah pada tahun 1963. Kejadian letupan itu berlaku selama 10 bulan dari 2 Februari 1963 sehingga 27 Januari 1964.
Letusan terbesar ini menyebabkan hampir 1,700 penduduk yang tinggal berdekatannya terkorban dan hampir 225,000 individu hilang punca pendapatan akibat kemusnahan tempat tinggal dan haiwan ternakan. Tempat yang hanya selamat ialah kuil Pura Ibu Besakih.
2. PENDUDUK BERSIAP SIAGA
‘Sediakan payung sebelum hujan’. Kejadian letusan terbesar 53 tahun lalu menjadikan penduduk dan juga kerajaan Indonesia bersiap sedia menghadapi letusan berikutnya.
Jika dulu tiada teknologi untuk memantau pergerakan gunung berapi ini, Indonesia kini mempunyai pebagai agensi yang mempunyai kelengkapan teknologi untuk mengawasi aktiviti gunung berapi.
Pusat Vukanologi dan Mitigasi Bencana Geologi juga dibina untuk mengawasi gunung terbabit.
3. PERSEDIAAN SEJAK BULAN LALU
Seramai 150,000 penduduk telah dipindahkan ke 471 pusat perlindungan sejak Oktober lalu. Kebanyakan pusat perlindungan dibuka pada jarak yang agak jauh dari radius kawasan gunung berapi iaitu lebih daripada 62 kilometer.
Malah, penduduk turut mengakui gegeran sebelum Gunung Agung meletus pada Sabtu lalu hampir sama tahun 1963. Oleh itu, mereka kini lebih berhati-hati dan bertindak menyelamatkan diri lebih awal.
4. LETUSAN TURUNKAN SUHU BUMI
Semua terjadi mempunyai sebabnya tertentu. Hukum alam yang mungkin kita tidak sedar.
Menurut laporan dikeluarkan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) menerusi BBC, letusan Gunung Agung pada tahun 1963 menurunkan suhu bumi sebesar 0.4 darjah celcius.
Bahan vulkanik, aerosol sulfat dari gunung dilepaskan sehingga jarak 14.400 kilometer (km) dan ia melepasi atmosfera bumi. Selain itu abu letusan gunung ini juga dikeluarkan dari kawah gunung setinggi 20 km.
5. TIGA KALI MELETUS PADA TAHUN 80-AN
Letupan Gunung Agung pada 1963 bukan yang pertama berlaku sebaliknya ia memasuki letusan keempat yang dicatatkan. Sebelum ini gunung ini pernah meletus pada tahun 1808, 1821 dan 1843.
Sehingga kini, masih terdapat sebahagian pelancong asing khususnya penduduk Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai.
Kementerian Pengangkutan Indonesia juga telah mengeluarkan kenyataan pagi ini untuk melanjutkan penutupan lapangan terbang itu dalam tempoh 24 jam. Penutupan dijangka berakhir menjelang jam 7 pagi waktu tempatan pada 29 November.
Rakyat Malaysia yang terjejas dinasihatkan melaporkan diri dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di sana di alamat Jl H R Rasuna Said Kav X/6, No. 1-3, Kuningan, 12950 Jakarta Selatan.
Selain itu mereka juga boleh menghubungi talian +62 215 224 947 atau +62 813 808 130 36 atau emel di [email protected].
Must-Watch Video