Telefon pintar ASUS sememangnya terkenal dengan ketahanan jangka hayat bateri yang lama menerusi penggunaan kapasiti besar.

Buktinya, model ZenFone 3 Zoom dan ZenFone 4 Max berada di kedudukan teratas sebagai peranti yang mempunyai ketahahan bateri paling tahan lama pada tahun ini.

Selain bateri, kebanyakan model ASUS juga sering menjadi pilihan pengguna berikutan harganya yang berpatutan dengan spesifikasi yang setanding dengan model ‘flasghip’ lain.

Selaras dengan trend 2017 yang banyak memfokuskan skrin tanpa bingkai, ASUS Malaysia juga tidak ketinggalan dan turut mengumumkan model bagi tahun 2018 mereka iaitu ASUS ZenFone Max Plus M1.

Untuk anda yang tertanya-tanya apakah fungsi ditawarkan model ini, Rojak Daily Skop! senaraikan lima ciri paling menarik ASUS ZenFone Max Plus ini:


1. NISBAH PAPARAN LEBIH BESAR

Skrin tanpa bezel semakin menguasai pasaran telefon pintar bagi 2017.
Anda tidak perlu lagi mengeluarkan wang terlalu banyak untuk mendapat skrin tanpa bingkai atau lebih dikenali sebagai ‘bezel-less phone’ yang menjadi trend pada tahun ini.

ASUS Zenfone Max Plus adalah penyelesaian mudah kerana ia turut menyediakan skrin 5.7 inci dengan nisbah paparan 18:9. Penggunaan nisbah ini menjadikan skrin peranti ini meliputi hampir 80 peratus keseluruhan bahagian depan.

Skrin besar ini sekali gus memudahkan anda untuk menggunakan dua aplikasi serentak!. Malah, kemasan metal dan lengkungan 2.5D pada sisi tepi turut menjadikan skrin ini tampak kemas dan selesa digenggam.

2. BATERI TAHAN LAMA

Asus memang terkenal dengan penghasilan telefon pintar yang tahan lama dalam aspek bateri.
Pencapaian ASUS dalam mengekalkan peranti dengan jangka hayat bateri paling tahan lama memang tidak dapat disangkal. Begitu juga model ASUS ZenFone Max Plus ini apabila ia menyediakan bateri sebesar 4310mAh.

ASUS Malaysia menyatakan dengan penggunaan bateri ini, anda akan memperoleh sama ada 26 jam masa sedia dan berbual, 21 jam melayari Internet menerusi Wi-Fi dan 13 jam tontonan video.

Dengan tempoh masa tersebut, ASUS turut menyatakan ia amat sesuai untuk ‘kaki travel’ yang memerlukan jangka hayat bateri yang lebih lama.

3. IMEJ GAMBAR LEBIH ‘WIDE’

Gambar sudut lebar pastinya menarik perhatian anda.
Telefon pintar ini dilengkapi dua lensa 16 megapixel (MP) yang digelar sebagai PixelMaster.

Lensa ini mempunyai apertur f/2.0 dan sistem pemfokusan PDAF bagi menghasilkan imej yang jelas biarpun dalam keadaan kurang cahaya.

Selain itu, lensa keduanya turut dilengkapi ciri penggambaran sudut lebar sebanyak 120 darjah iaitu 200 peratus lebih lebar daripada telefon pintar biasa.

Lebih luas bermakna lebih banyak ruang dan subjek dapat dimasukkan ketika mengambil gambar. Untuk anda yang gemar berswafoto, kamera hadapannya dilengkapi lensa sebesar 16 MP dengan apertur f/2.0.

4. KAWALAN KESELAMATAN MENYELURUH

Fungsi menyeluruh dengan harga berpatutan adalah kekuatan utama model terbaru ini.
Pada tahun ini kebanyakkan telefon pintar mengeluarkan sistem keselamatan pengecaman wajah.

Telefon pintar ini tidak terkecuali apabila turut menyediakan ‘Face Unlock’ yang memberikan sistem keselamatan yang selamat dan pantas.

Biarpun memfokuskan fungsi pengecaman wajah, ASUS ZenFone Max Plus turut mengekalkan pengimbas cap jari sebagai alternatif pada mereka tidak gemar menggunakan ‘Face Unlock’.

5. HARGA BERPATUTAN

Ciri kelima ini antara paling ditunggu-tunggu kerana jika melihat segala fungsi diterapkan ke dalam peranti ini, ia mungkin dianggap mahal.

Bagaimanapun, anda mungkin tidak mempercayai telefon ini sebenarnya hanya berharga RM899 dan ia mula dijual bermula 20 Disember ini.

Malah, jika anda membuat pra-tempahan dari 14 sehingga 19 Disember ini, anda mungkin layak menerima rebat sebanyak RM200.

Telefon pintar ini dikuasakan dengan cip pemprosesan MediaTek MT6750 T empat teras, ASUS ZenFone Max Plus hadir dengan tiga variasi warna iaitu hitam, emas dan perak.

Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman sesawang ASUS Malaysia.