Siapa tidak kenal dengan Khairul Hafiz Jantan atau ‘The Speedy Jantan’ ini.

Raja pecut negara ini telah banyak mengharumkan nama negara.

Pencapaian paling terkini pastilah apabila meraih pingat emas pada acara 100 meter Sukan SEA di Stadium Nasional Bukit Jalil, tahun lalu.

Hafiz dinobatkan sebagai manusia terpantas di rantau Asia Tenggara selepas menjuarai acara terbabit.

Kejayaan itu sekali gus memberi harapan untuk pelari berasal dari Melaka ini untuk muncul sebagai wira negara dalam Sukan Komanwel 2018 yang telah pun bermula 4 April lalu.

NASIB TIDAK MENYEBELAHI HAFIZ JANTAN


Bagaimanapun tidak semua yang kita harap akan terlaksana dengan begitu mudah. Pasti ada cabaran di sebaliknya.

Untuk pengetahuan anda, Khairul Hafiz hanya mencatatkan masa 10.50s untuk berada di tempat keempat saringan kesembilan pusingan pertama di Carrara Sports and Leisure Centre, semalam (Ahad).

Menurut Khairul Hafiz, hilang fokus pada percubaan pertama menyebabkan dia gagal mengekalkan momentum pecutan.

“Mungkin saya hilang fokus selepas nampak orang sebelah lebih laju dan memintas saya. Disebabkan kejadian itu saya terganggu dan hilang fokus.

"Bila masuk cubaan kedua, saya masih terkesan dan terus tidak fokus,” katanya kepada Bernama.

CATATAN JUGA TERSASAR JAUH

Anda tetap wira kami!Capaian masa yang dicatatkan Hafiz iaitu 10.50s dilihat jauh tersasar dari rekod kebangsaan miliknya iaitu 10.18s.

Untuk makluman, hanya dua terbaik daripada setiap saringan layak ke pusingan separuh akhir.

Bagaimanapun, peluang Hafiz untuk beraksi buat pertama kali di Sukan Komanwel masih terbuka kerana dia juga akan menggalas cabaran dalam acara 4x100m, Jumaat ini.

Hafiz akan berganding bahu bersama Jonathan Nyepa, Nixson Kennedy, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Rayzam Shah Wan Sofian.

Sama-sama kita doakan supaya kemenangan milik Malaysia dan Hafiz Jantan... tetap wira kami!