Semakin hampir kita akan melalui penghujung tahun dan masuk tahun baru, masing-masing juga memasang azam untuk dicapai pada tahun hadapan.

Ada yang hanya mempunyai azam yang sama bertahun-tahun yang masih belum tertunai. Mungkin azam anda adalah mahu melangsaikan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan alasan paling penting untuk membayar hutang ini kerana tidak mahu nama disenarai hitam supaya dapat ke luar negara.


INISIATIF BAYAR BALIK

Tidak kira sesiapa yang berhutang, memang liat untuk peminjam membayar balik pinjaman apatah lagi ia adalah hutang pinjaman ketika belajar.

Namun, inisiatif PTPTN dan kerajaan mahu membantu peminjam untuk membayar balik pinjaman tetap diteruskan.

Bagi peminjam yang tidak tahu, PTPTN sebenarnya masih memberi ruang kepada peminjam untuk berbincang mengenai kaedah bayaran balik punjaman yang mampu dipersetujui kedua pihak iaitu dengan cara membuat perjanjian baru dan seterusnya nama peminjam tidak lagi disenarai hitam.

Gaji tidak cukup untuk membayar balik pinjaman bukan lagi alasan yang boleh diterima kerana mereka yang sudah bekerja boleh saja mengeluarkan wang dari akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan membayar balik pinjaman.

Jika sebelum ini, segelintir peminjam PTPTN sanggup membeli telefon pintar yang mahal menggunakan wang pinjaman tersebut, apa kata PTPTN sendiri memberi anda telefon pintar terbaru, iPhone X dan Huawei 10 secara percuma!

Syaratnya mudah, peminjam perlu membayar balik pinjaman dan berpeluang mendapat telefon pintar tersebut menerusi cabutan bertuah. Sebanyak 20 hadiah telefon pintar iaitu 1 iPhone X manakala 19 unit Huawei P10 menanti pemenang bertuah.

Bayaran minimum sebanyak RM1,000 melayakkan peminjam menyertai cabutan bertuah istimewa ini.


Tawaran bayar balik menerusi cabutan bertuah antara inisiatif PTPTN untuk peminjam membayar balik duit PTPTN yang sudah digunakan. Ini juga sempena sambutan ulangtahun PTPTN ke-20 yang mahu menghadiahkan 20 telefon pintar ini kepada peminjam.

Tawaran bayaran balik pinjaman untuk menyertai cabutan bertuah ini adalah dengan syarat bayaran minimum sebanyak RM1,000 bermula sejak 1 Disember lalu sehingga berakhir 31 Disember ini.

Menariknya, setiap RM1,000 yang dibayar layak mendapat satu cabutan bertuah. Jadi, maknanya bayar lebih, peluang untuk menang juga lebih besar!

Untuk makluman peminjam, tawaran diskaun 10 peratus menerusi potongan gaji dan 'direct debit' masih ada manakala peminjam berpeluang mendapat diskaun 20 peratus jika melangsaikan semua hutang.

Bagi peminjam yang ingin menjelaskan bayaran mereka dan mahu turut serta dalam cabutan bertuah ini boleh melakukannya dengan dua cara iaitu membayar secara atas talian di http://qoo.ly/jtadj atau menerusi mana-mana kaunter PTPTN.

Maklumat lanjut mengenai cawangan PTPTN boleh layari http://www.ptptn.gov.my/web/guest/cawangan-ptptn atau menghubungi talian Careline PTPTN, 03-2193 3000.