Skop
Maskot Sukan Pelik Pilihan Penganjur Sama Ada Gimik Atau Suka-Suka?
Tak sampai sebulan sahaja lagi akan berlangsung Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur. Kehangatan dan kemeriahan acara sukan terulung di rantau ini semakin dirasai ramai peminat sukan khususnya rakyat di negara ini.
Di sebalik Malaysia menjadi tumpuan dunia, mungkin ramai peminat tidak tahu Lima Perkara Menarik Sukan SEA 2017 Anda Sebagai Rakyat Malaysia Wajib Tahu! Di dalam artikel tersebut, ada diselitkan kisah mengenai RIMAU iaitu maskot yang terpilih buat edisi ke-29 Sukan SEA kali ini.
Walaupun maskot sukan dianggap memeriahkan acara dan menaikan semangat sesebuah pasukan, terdapat juga maskot yang mampu membuatkan anda tertawa, tepuk dahi ataupun geleng kepala! Kali ini, Rojak Daily Skop! menyingkap 10 maskot sukan pelik dan aneh yang pernah berlaku sebelum ini.
Persoalannya, apa agaknya yang bermain di fikiran pihak pegurusan terbabit ketika mereka membuat keputusan memilih maskot-maskot ini?
Berikut senarai maskot sukan pelik:
1. IZZY (SUKAN OLIMPIK MUSIM PANAS 1996)
Izzy merupakan nama singkatan bagi 'Whatizit' terpilih sebagai maskot bagi temasya Sukan Olimpik Musim Panas 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat. Pemilihan Izzy telah menimbulkan kontroversi dan mendapat kecaman daripada pelbagai pihak.
Pemilihan Izzy tidak mengikuti amalan yang biasa dilakukan. Kebiasaannya maskot dipilih dalam kalangan haiwan yang mepunyai kaitan dengan negara penganjur. Sebaliknya, Izzy bukanlah begitu kerana dia merupakan makhluk biru yang mampu menukar rupa dan bentuk. Malah, nama 'Whatizit' adalah olahan daripada ayat bahasa Inggeris 'What is it?' bermaksud 'Apa benda itu?'.
Rupanya pemilihan Izzy berdasarkan nilai komersialnya. Ini didedahkan menerusi satu temuramah yang dilakukan WABE 90.1 FM dengan John Ryan yang merupakan ketua pasukan yang menghasilkan Izzy. Dia menjelaskan Izzy direka dengan tujuan menjadikannya replika mainan yang mampu terjual dengan laris.
2. WENLOCK & MANDEVILLE (Sukan Olimpik Musim Panas 2012)
Sukan Olimpik Musim Panas yang berlangsung di kota London, England ini menampilkan dua maskot baru, iaitu Wenlock dan Mandeville. Mengikut penerangan rasmi yang dikeluarkan, dua makhluk ini terhasil daripada ‘girder’ (sejenis alat yang digunakan sebagai rangka dalam kerja-kerja pembinaan) yang terdapat di gelanggang utama kejohanan iaitu Stadium Olimpik London.
Kulit pasangan ini diperbuat daripada besi yang berkilauan. Kedua mereka masing-masing hanya mempunyai satu mata sahaja dan ianya diperbuat daripada kamera. Di bahagian atas kepala mereka pula terdapat lampu kuning kecil yang menjadi simbolik terhadap teksi London yang unik. Jika anda berasakan gambaran bagi Wenlock dan Mandeville itu pelik, anda tidak keseorangan!
Pasangan maskot itu menerima kecaman hebat daripada pelbagai lapisan masyarakat. Akhbar the Globe and Mail menyatakan kedua maskot tersebut bagaikan 'anak yang dilahirkan hasil perjumpaan mabuk antara seorang Teletubby (watak TV kanak-kanak) dan sebuah Dalek (watak siri TV Doctor Who)'. Akhbar The Guardian pula melabelkan pasangan tersebut sebagai maskot Sukan Olimpik terburuk sepanjang zaman. Lebih melucukan lagi, ada yang melabelkan Wenlock dan Mandeville ini sebagai kemunculan Dajjal kerana penampilan mereka yang bermata satu.
3. BOLTMAN (PASUKAN SAN DIEGO CHARGERS)
Tidak dinafikan pasukan American Football yang bermain di liga NFL ini mempunyai nama jolokan 'The Bolts' dan logo rasmi pasukan menyerupai panahan petir. Maka, secara teorinya, memilih maskot yang juga menyerupai panahan petir merupakan satu idea yang bijak.
Atas sebab itu, seorang lelaki bernama Dan Jauregui mula memakai kostum menyerupai panahan petir dan hadir sebagai 'Boltman' pada setiap perlawananan pasukan kesayangannya pada era 1990-an. Tidak lama selepas itu, pihak pengurusan San Diego Chargers melantiknya sebagai maskot tidak rasmi pasukan.
Bagaimanapun, teori tidak semestinya menjadi apabila memasuki dunia sebenar. Majoriti peminat tidak meminati Boltman. Bagi mereka, rupa paras kostumnya agak pelik. Akhirnya peminat mengecam dan tidak senang dengan kewujudan Boltman. Lebih malang lagi buat Jauregui, status tidak rasmi Boltman sebagai maskot pasukan bermakna dia tidak layak menerima apa-apa bayaran daripada pihak pasukan. Nyata, penat lelahnya membazir begitu sahaja!
4. NEVE & GLIZ (SUKAN OLIMPIK MUSIM SEJUK 2006)
Apa yang mula-mula sekali masuk ke dalam kotak fikiran anda apabila orang menyebut musim sejuk? Tentu sekali jawapannya salji dan ais, bukan? Mungkin itu jugalah yang berlegar di fikiran penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk 2006 yang berlangsung di Torino, Itali.
Pasangan maskot yang terpilih untuk temasya kali ini adalah Neve dan Gliz. Neve bermaksud salji di dalam bahasa Itali menjadi 'wanita' bebola salji yang memakai pakaian berwarna merah. Gliz pula adalah singkatan daripada perkataan 'Ghiaccio' bermaksud ais di dalam bahasa Itali. Dia merupakan lelaki ketulan ais yang memakai pakaian berwarna biru.
Mungkin sesuai dengan tema musim sejuk, pemilihan kedua maskot ini mendapat sambutan 'dingin’ daripada pihak media dan juga peminat. Menurut mereka, pemilihan pasangan maskot ini tiada langsung unsur kreativiti di tambah pula dengan rupa paras yang kelihatan aneh. Nampaknya Neve dan Gliz sesuai untuk di simpan dan dibekukan di dalam peti sejuk.
5. KING CAKE BABY (PASUKAN NEW ORLEANS PELICIANS)
Kebiasaan imej seorang bayi dikaitkan dengan perkataan positif seperti comel dan seronok. Kek juga sering dikaitkan imej dan suasana yang menyeronokan. Namun, apabila anda melihat sendiri rupa King Cake Baby, perkataan seronok tidak akan timbul sebaliknya, perkataan 'menakutkan' yang bakal muncul.
Mungkin peminat agak bernasib baik bahawa King Cake Baby hanya merupakan maskot yang bermusim sahaja untuk pasukan bola keranjang liga NBA, New Orleans Pelicans. Ini disebabkan 'King Cake' adalah kek yang popular di kawasan South Louisiana, Amerika Syarikat iaitu tempat berpusatnya pasukan ini manakala kewujudannya secara bermusim iaitu bermula 6 Januari sehingga penghujung Februari pada setiap tahun. Pada waktu lain, maskot bagi pasukan New Orleans Pelicans adalah “Pierre the Pelican”.
Eh, sepatutnya bila muncul tahun dan musim baru, King Cake Baby ni dah membesar, kan?
6. AMIK (SUKAN OLIMPIK MUSIM PANAS 1976)
Bandar Montreal, Kanada terpilih menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan Olimpik Musim Panas 1976 dan maskot yang terpilih adalah seekor memerang bernama 'Amik'. Nama itu berasal dari bahasa Anishinaabe yang sememangnya bermaksud 'memerang'.
Haiwan tersebut sudah diketahui umum banyak terdapat di Kanada. Pemilihan 'Amik' sebagai maskot pula adalah berdasarkan sifat semulajadi memerang yang berkerja keras. Namun, seperti maskot-maskot lain yang terdapat pada senarai ini, 'Amik' juga mendapat kecaman hebat.
Reka bentuknya yang tiada kaki dikatakan sangat mengelirukan. Ramai yang tidak boleh mengecam atau meneka jenis haiwan apakah sebenarnya yang telah dipilih menjadi maskot apabila melihatnya. Tidak cukup dengan itu, ada juga yang mengatakan 'Amik' kelihatan seperti gaya rambut ‘toupee’ ala-Donald Trump.
Bezanya cuma rambut Trump nampak lebih hidup dan bertenaga dari 'Amik'. Walauipun sifat semula jadi memerang adalah untuk berkerja keras, nampaknya memerang yang satu ini perlu melipat gandakan lagi usaha untuk memenangi hati penonton.
7. WUSHOCK (PASUKAN UNIVERSITI WICHITA STATE)
Dengan ketinggian mencecah tujuh kaki, kepala besar berwarna kuning terang, rambut selekeh dan tidak terurus, ditambah pula riak muka penuh kenakalan, sememangnya ramai yang tidak menyenangi kehadiran maskot yang satu ini.
Maskot rasmi (untuk kesemua jenis sukan) bagi pasukan Universiti Wichita State ini mula mendapat namanya seawal tahun 1904 lagi. Ketika itu, ramai pemain pasukan American Football institusi pengajian tinggi tersebut berkerja separuh masa pada cuti semester mereka dengan menuai gandum di kawasan-kawasan yang berdekatan. Aktiviti menuai itu dikenali sebagai 'shocking' dan tidak lama kemudian pasukan mereka diberi nama jolokan 'The Shockers'.
Memandangkan nama singkatan Wichita University adalah WU, pihak pengurusan universiti menggabungkan nama singkatan itu dengan nama jolokan mereka maka lahirlah 'WuShock'. Ramai orang luar tidak tahu makhluk apa sebenarnya 'WuShock' ini. Ada yang menyangkakan ia adalah kentang goreng, pensil, orang asli Amerika, bunga matahari dan banyak lagi. Ternyata kesemua tekaan mereka itu adalah salah! Maskot ini sebenarnya merupakan satu ikatan gandum! Amacam, rasa 'shocking' ke tidak jawapan tadi?
8. SUKKI, NOKKI, LEKKI & TSUKKI (SUKAN OLIMPIK MUSIM SEJUK 1998)
Maskot empat serangkai yang juga dikenali sebagai 'The Snowlets' ini telah membuat kemunculan di temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk 1998 di Nagano, Jepun. Kesemua mereka merupakan burung hantu yang masing-masing mewakili satu daripada empat elemen alam semula jadi iaitu api (Sukki), angin (Nokki), bumi (Lekki), dan air (Tsukki). Menariknya, mereka ini sebenarnya telah terpilih untuk menggantikan maskot asal temasya iaitu seekor weasel bernama ‘Snowple”.
Malangnya ramai peminat mengatakan rupa mereka agak mengerikan. “Bagaikan watak yang sering kita jumpai dalam mimpi buruk,” - komen seorang pembaca Buzzfeed. Reaksi negatif turut dapat dilihat pada jualan replika mainan keempat maskot tersebut. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya The Snowlets ini ada empat ekor kesemuanya. Tidaklah menangis keseorangan!
9. SCHUSS (SUKAN OLIMPIK MUSIM SEJUK 1968)
Memperkenal maskot Sukan Olimpik yang pertama sekali muncul dalam sejarah – Schuss. Maskot sukan ini telah membuat penampilan seawal tahun 1968 lagi iaitu sewaktu Sukan Olimpik Musim Sejuk yang berlangsung di Grenoble, Perancis. Schuss merupakan watak kartun yang memakai kasut ski. Namanya juga adalah singkatan daripada perkataan 'schussboom' iaitu suatu teknik dalam acara sukan alpine skiing yang menuntut peserta untuk turun dari bukit pada kelajuan tinggi.
Maskot ini bukan sahaja mendapat kecaman tetapi turut dijadikan bahan jenaka sehingga ke hari ini. Kenapa? Pertama sekali, ramai mengatakan rupanya kelihatan seperti 'sperma' memakai kasut ski. Kedua, sesuai dengan asal-usul namanya iaitu schussboom, ‘sperma’ ini melakukan aktiviti ‘terjun’ dengan laju. Dan akhir sekali, ‘sperma’ ini juga telah ‘melahirkan’ tradisi memilih maskot bagi mewakili setiap Sukan Olimpik selepas itu. Tahniah Schuss! Anda boleh dikategorikan sebagai “Bapa maskot Sukan Olimpik”!
10. MAGIQUE (SUKAN OLIMPIK MUSIM SEJUK 1992)
Pada asalnya, maskot buat temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk yang berlangsung di Albertville, Perancis ini merupakan seekor kambing gunung bernama 'Chamois' tetapi lebih kurang dua tahun sebelum temasya itu berlangsung, Chamois digantikan dengan suatu makhluk aneh diberi nama 'Magique'.
Bolehkah anda meneka Magique merupakan makhluk jenis apa? Sekiranya anda mengatakan 'tapak Sulaiman', maka jawapan anda adalah….. SALAH! Magique bukanlah merupakan sejenis haiwan tetapi adalah seorang 'imp'. Anda tidak perlu risau seandainya tidak tahu apakah itu 'imp' kerana sememangnya ia tidak terdapat di dalam rantau Asia apatah lagi budaya masyarakat Malaysia tetapi di dunia Barat, 'imp' merupakan makhluk mistik seperti pari-pari, goblin dan elf. Bentuk rekaan tubuh Magique seperti bintang sebagai simbolik kepada mimpi dan imaginasi.
Laman sesawang Thrillist mengatakan bahawa setiap kali mereka melihat Magique, mereka 'rasa seperti hendak lari keluar dari tubuh sendiri'. Pelbagai laman sesawang lain turut memberikan reaksi kurang memberangsangkan terhadap maskot ini. Nampaknya, Magique tidak berjaya mengikut jejak langkah namanya, kerana dia ketiadaan 'magis' untuk memukau peminat.
Akhir sekali, apa pendapat anda mengenai maskot-maskot di atas? Adakah anda tidak bersetuju dengan kami dan sebaliknya suka sebilangan daripadanya? Mungkin juga anda pernah terjumpa maskot sukan lebih aneh daripada yang kami senaraikan di sini. Jika ya, jangan lupa tinggalkan komen di sini atau di laman Facebook kami - Rojak Daily Skop! Jika anda mampu berikan jawapan bernas, mungkin anda boleh jadi maskot kami!
Must-Watch Video