Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di White House, Washington pada 13 September lalu antara lain menyebut Malaysia berhasrat membantu mengukuhkan ekonomi negara itu.

Apa yang menarik perhatian, usaha Malaysia itu melibatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merancang meningkatkan pelaburan mereka di AS. KWSP dijangka melabur antara AS$3 bilion dan AS$4 bilion di negara tersebut. Kenyataan Najib itu disambut baik oleh Trump.

Rentetan itu sebilangan netizen mengecam pengumuman Najib tersebut. Mereka mendakwa Malaysia sedang mengambil risiko besar menerusi penggunaan dana KWSP. Mereka tidak yakin pelaburan luar oleh KWSP di luar negara akan berjaya.


PENDAPATAN PELABURAN KWSP RM11.51 BILION

KWSP dalam satu kenyataan media baru-baru ini bagaimanapun mendedahkan hasil pendapatan pelaburan yang diperoleh agensi itu termasuk di luar negara meningkat kepada RM11.51 bilion dalam suku tahun kedua berakhir 30 Jun lalu iaitu peningkatan 36.36 peratus berbanding RM8.44 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Lebih menarik, pelaburan luar negara KWSP merangkumi 29 peratus dari keseluruhan aset pelaburan menyumbang 32.50 peratus dari jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tahun tersebut.

“Walaupun pelaburan luar negara mewakili kurang 30 peratus daripada jumlah portfolio pelaburan, ia merupakan penyumbang pendapatan yang signifikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Peningkatan dalam nilai aset global telah mengurangkan impak negatif susulan pengukuhan nilai mata wang ringgit, sekali gus memberikan peluang kepada kami untuk mengambil keuntungan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam kenyataan itu.


NILAI PELABURAN CECAH RM759.78 BILION

Menurut KWSP, secara keseluruhan nilai aset pelaburan KWSP mencecah RM759.78 bilion iaitu meningkat 3.92 peratus atau RM28.67 bilion daripada RM731.11 bilion yang dicatatkan setakat 31 Disember 2016.

Daripada jumlah keseluruhan aset pelaburan, RM362.50 bilion atau 47.71 peratus merupakan pelaburan patuh Syariah manakala selebihnya dilaburkan dalam aset tidak patuh Syariah.

Malah, sebanyak RM820.71 juta daripada jumlah pendapatan pelaburan RM11.51 bilion tersebut dijana untuk Simpanan Syariah, manakala RM10.69 bilion untuk Simpanan Konvensional.

Simpanan Syariah memperoleh pendapatan hanya daripada bahagian aset patuh Syariah manakala Simpanan Konvensional memperoleh pendapatan dari kedua-dua bahagian aset patuh Syariah dan aset tidak patuh Syariah.

“Walaupun pasaran domestik kekal penting dalam pelaburan KWSP, kami perlu mempelbagaikan portfolio dalam pasaran lebih luas yang menyediakan peluang lebih baik serta kecairan pasaran lebih tinggi.

"Ini bagi membolehkan pelaksanaan strategi pelaburan yang selaras dengan mandat kami. Dengan cara ini, ia dapat memberikan KWSP ketangkasan dan daya tahan untuk menjangka dan menghadapi cabaran pasaran di masa akan datang,” jelasnya.


PROSPEK AKAN DATANG

Mengulas prospek untuk separuh tahun kedua, memandangkan nilai mata wang ringgit terus menunjukkan tanda-tanda kestabilan, pelaburan global dijangka kekal menjadi penyumbang pendapatan utama KWSP pada masa hadapan.

Bagi peringkat domestik pula, walaupun angka KDNK terus meningkat, KWSP tetap mengamalkan sikap berwaspada terhadap faktor luaran yang mampu menimbulkan ketidakpastian termasuk kebarangkalian kenaikan kadar faedah global serta ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.