Hasil seni boleh ditonjolkan melalui pelbagai medium termasuk kertas, kain, kasut dan dinding. Namun, dengan kewujudan teknologi moden, kita berupaya melihat kreativiti berkenaan bukan sahaja di atas sehelai kertas, malah yang terbaru di atas secawan kopi.

Jika sebelum ini kita biasa melihat corak atau motif seperti bunga, haiwan dan karakter kartun, kini anda boleh mendapatkan hasil yang lebih unik iaitu cetakan wajah anda sendiri di atas buih minuman kopi yang dipesan!

Memang betul, ia bukan magis atau gimik untuk tarik perhatian pelanggan tapi adalah kreativiti sebuah kafe. Cetusan idea The Tea Terrace yang terletak di House of Fraser, London Oxford Street ini sekali gus menjadikannya sebagai kafe pertama di Eropah yang menawarkan konsep Selfieccino.


SENI BARISTA KE TAHAP BARU

Jika merujuk pada kopi yang mempunyai hiasan pada buih memang sudah banyak tapi kreativti kafe ini memang cukup unik. Hidangan kopi ini dilihat berjaya meletakkan seni barista ke satu tahap baru dengan memberi peluang kepada pelanggan untuk menghirup kopi yang tertera wajah mereka sendiri.

Pelanggan yang berminat hanya perlu menghantar gambar selfie mahupun wajah mereka menerusi aplikasi kafe kepada barista seterusnya memilih minuman kegemaran sama ada coklat panas atau cappuccino.

Gambar anda kemudiannya akan dihantar ke mesin yang dipanggil Cino sebelum minuman anda disediakan. Bagi yang tertanya-tanya, cetakan pada buih berkenaan hanya menggunakan pewarna tanpa rasa.

Jadi tidak perlu risau sekiranya cetakan wajah terbabit akan menjejaskan rasa minuman anda!

Berapa lamakah masa yang diperlukan untuk menghasilkan secawan 'Selficcino'? Tidak memakan masa yang terlalu lama, proses itu hanya kira-kira empat minit.


MEDIA SOSIAL BERI PENGARUH

Anda pasti rasa bangga apabila dapat minum kopi wajah sendiri.


Pemilik The Tea Terrace, Ehab Salem Shouly berkata, idea berkenaan timbul selepas melihat trend dan kehendak pelanggan yang sentiasa berubah-ubah. Pada masa sama, ia juga direka bagi memenuhi kehendak pelanggan.

"Dengan wujudnya media sosial, pengalaman menikmati hidangan juga menjadi berbeza.

"Hidangan makanan dan perkhidmatan yang hebat saja tidak mencukupi, sebaliknya lebih berbaloi jika pelanggan dapat berkongsi keenakan dan gambar menarik sajian di media sosial bersama rakan-rakan," katanya.

Bedasarkan laporan Grub Street, kafe berkenaan berjaya menjual lebih daripada 400 cawan Selfieccino sejak ia mula dilancarkan pada pertengahan bulan ini.

Ia dijual pada harga AS$7.50 atau lebih kurang RM30 untuk setiap cawan.

Selain di House of Fraser di London Oxford Street, pelanggan juga boleh menikmati 'Selfieccino' di dua cawangan The Tea Terrace lain yang terletak di House of Fraser Victoria Street dan Guildford.