Demi cintaku pada dirimu, kukorbankan segala-galanya walaupun terpaksa ke tali gantung hanya kerana seorang kekasih yang dicintai dan disayangi.

Itulah yang terjadi ke atas dua gadis berusia 22 dan 23 tahun apabila ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes pengedaran dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM41,800 di Bayan Lepas dan Bukit Jambul.

Segalanya terbongkar dalam dua serbuan berasingan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya hasil intipan dan maklumat awam yang diterima.

HASIL PEMERIKSAAN

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A Anbalagan berkata, dalam pemeriksaan itu sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki seorang lelaki dan wanita berusia 29 dan 22 tahun ditahan di tepi jalan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan dilakukan di bahagian laci 'dashboard' penumpang hadapan menemui satu beg warna hitam yang mengandungi dua paket dadah jenis heroin seberat 28.8 gram. Dalam pemeriksaan itu, kedua suspek mengaku tidak bekerja dan menjadi pengedar dadah di jalanan dan sudah menjalankan aktiviti itu sejak tiga bulan lalu.

"Siasatan mendapati mereka memperolehi dadah daripada pihak lain untuk diedarkan di sekitar Balik Pulau dan Bayan Lepas," katanya ketika sidang media di IPD Barat Daya di sini, baru-baru ini.

A Anbalagan (duduk, dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas ketika serbuan di Bayan Lepas, baru-baru ini.

NILAI HARTA DAN DADAH MENGIKUT HARGA PASARAN

Anbalagan berkata, dalam pemeriksaan kedua pula pada jam 2 pagi itu, satu lagi serbuan dilakukan di BJ Court dan menahan sepasang kekasih berusia 41 dan 23 tahun. Dalam pemeriksaan itu pihak polis menemui dadah jenis heroin seberat 1.508 kilogram dan syabu seberat 54.0 gram

Katanya, pihak polis turut menyita wang tunai bernilai RM2,800, sebuah kereta jenis Proton WIRA dan sebuah kereta Satria Neo.

"Jumlah nilai harta yang disita adalah RM21,800 berbanding nilai harga pasaran dadah yang dirampas adalah RM41, 480.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati," katanya sambil memberitahu kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 27 Jun depan untuk siasatan lanjut.