Sekiranya anda mengunjungi pusat membeli belah yang besar dalam tempoh dua minggu terakhir ini, sudah pasti anda perasaan suasana dan hiasan yang menyeramkan, bukan? Siaran televisyen pula semakin banyak menyiarkan filem hantu yang menakutkan.

Sanadainya anda masih tidak mengetahui puncanya, ia adalah kerana Oktober adalah bulan sambutan Halloween!

Bagaimanapun, masyarakat di negara ini tidak melakukan tradisi Halloween seperti aktiviti 'trick-or-treat' dari rumah ke rumah, mengukir buah labu dalam bentuk 'jack-o-lantern' untuk menghiasai kediaman, memakai kostum dan lain-lain lagi.

Namun, itu tidak bermakna rakyat Malaysia tidak mampu merasai suasana kemeriahan sambutan tersebut di negara ini. Kali ini, Rojak Daily Skop! paparkan lima tempat untuk anda berbuat demikian.

Buat yang beragama Islam, harus dinyatakan juga bahawa kami bukan mengesyorkan anda menyambut perayaan ini tetapi cuma sebagai cadangan untuk merasai suasananya sahaja. Seperti juga menyaksikan tarian singa sewaktu Tahun Baru Cina ataupun perarakan Thaipusam, ianya adalah bertujuan untuk mengalami keindahan pelbagai budaya.

1. MALAM DI MANA KEBERANIAN ANDA BAKAL TERUJI

Pelbagai jenis hantu dipersembahkan termasuk dari filem terkenal Hollywood, Jepun dan Korea.

Setelah mendapat sambutan yang memberangsangkan untuk empat tahun berturut-turut, Taman Tema Sunway Lagoon sekali lagi mendedikasikan Oktober untuk acara Night of Fright 5.

Bermula dari 7 sehingga 29 Oktober, acara tersebut akan diadakan pada setiap hari Jumaat sehingga Ahad dari 7.30 malam sehingga 11.30 malam. Satu hari tambahan iaitu pada Selasa, 31 Oktober (malam Halloween) juga disediakan buat pengunjung.

Pada tarikh-tarikh tersebut, taman tema terkenal ini akan dipenuhi dengan pelbagai hantu, jembalang, zombi dan makhluk-makhluk menyeramkan lain yang berjalan di sekitar premis.

Ada dalam kalangan hantu dan makhluk ini anda akan kenal dari filem terkenal Hollywood, Jepun dan Korea. Tidak ketinggalan juga beberapa hantu tempatan seperti pontianak, pocong dan lain-lain lagi. Terdapat lapan rumah berhantu, lima zon menyeramkan, 11 'thrill rides' seperti roller coaster dan empat persembahan pentas di Night of Fright 5.

Persoalannya sekarang adalah adakah anda cukup berani untuk menerokai 'kampung berhantu' ini? Harga tiket biasa bagi acara Night of Fright 5 adalah RM64.

2. SEPANDAI-PANDAI POCONG MELOMPAT, HEBAT LAGI LOPATAN ATAS TRAMPOLIN!

Mesti mengujakan apabila kali ini pengunjung melompat trampolin sambil memakai kostum hantu.

Pernahkah anda dengar mengenai JumpStreet Trampoline Parks Malaysia? Ianya merupakan taman trampolin yang terbesar di Asia di mana anda boleh beriadah dan melompat gembira melakukan pelbagai aktiviti di atas trampolin.

Pada Sabtu, 28 Oktober nanti mereka akan mengadakan Zombie Party istimewa sempena Halloween bermula jam 5 petang hingga 10 malam.

Anda bukan sahaja boleh menggunakan trampolin yang ada dengan puas pada hari tersebut tetapi boleh juga mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti menarik yang disediakan. Antaranya adalah rumah berhantu, tarian zombi, acara membalut mumia, pertandingan kostum dan bermacam-macam lagi.

Rojak Daily Skop! cadangankan anda untuk hadir dengan kostum pocong pada hari tersebut. Biasanya pocong hanya melompat-lompat di celah pokok tapi kini ada peluang untuk membuat lompatan akrobatik di atas trampolin pula!

Harga kemasukkan adalah RM27 seorang seandainya tiket dibeli sebelum 22 Oktober. Sekiranya tiket dibeli selepas dari itu, harganya adalah RM30.

3. HANTU PUN PANDAI JAGA KESIHATAN SEKARANG!

Orang ramai boleh turut serta berlari sambil memakai kostum hantu.


Suasana kemeriahan Halloween di negara ini tidak terhad di kawasan Lembah Klang sahaja kerana di sebelah utara tanahair, acara Penang Halloween Hustle 2017 akan diadakan pada hari Sabtu, 28 Oktober nanti.

Acara ini merupakan sebuah larian ‘fun run’ pada waktu malam sejauh 6 kilometer. Kesemua peserta bagaimanapun dikehendaki memakai kostum atau makeup hantu pada hari tersebut. Aktiviti lain yang turut akan diadakan pada acara yang bertempat di EcoWorld Gallery Simpang Ampat, Pulau Pinang itu termasuklah pertandingan kostum dan solekan terbaik, acara muzik dan lain-lain lagi.

Nampaknya hantu pun dah pandai jaga kesihatan dengan masuk aktiviti larian. Pastikan kesihatan kardiovaskular anda juga dalam keadaan baik, mana tahu jika satu hari nanti zombi yang sudah berlatih di Penang Halloween Hustle 2017 mengejar anda pula!

4. ACARA HALLOWEEN YANG MESRA KANAK-KANAK

Pertandingan kostum, acara jeritan terbaik dan pertandingan binaan LEGO bertemakan Halloween antara aktiviti menarik di Legoland Malaysia.

Di Amerika Syarikat, walaupun Halloween kelihatan menyeramkan, ia sebenarnya adalah acara yang mesra kanak-kanak. Ini dapat dibuktikan dengan penyertaan golongan tersebut dalam aktiviti ‘trick-or-treat’ dari rumah ke rumah.

Jika tadi kita ke bahagian utara tanah air, kini kita bahagian Selatan pula iaitu di taman tema terkenal yang terletak di Johor, Legoland Malaysia Resort.

Acara Brick-or-Treat yang akan diadakan disana dari 6 hingga 29 Oktober ini bukan sahaja mesra keluarga tetapi kanak-kanak berumur 3 hingga 11 tahun yang memakai kostum Halloween akan diberi kemasukkan percuma! Ini baru betul-betul mesra kanak-kanak!

Antara aktiviti menarik yang disediakan di sana termasuk tutorial tarian Halloween, pertandingan kostum, acara jeritan terbaik, pertandingan binaan LEGO bertemakan Halloween dan lain-lain lagi. Pelbagai karektor LEGO yang bertemakan Halloween juga boleh ditemui di sana nanti!

5. HALLOWEEN DI SEBALIK KESIBUKAN KOTA RAYA

Pusat membeli belah, 1 Mont’ Kiara tidak melepaskan peluang menganjurkan acara bertema wad pesakit gila.


Bagi mereka yang tinggal di kawasan ibu kota khususnya berdekatan Mont Kiara, anda boleh berkunjung ke 1 Mont’ Kiara bagi acara istimewa mereka sempena Halloween. Dari 14 sehingga 31 Oktober, tema wad sakit gila akan menyelubungi pusat membeli belah tersebut sempena dengan aktiviti “What Happened To Amelia – Chapter 3: The Elysium Asylum”.

Pelbagai barangan bertemakan Halloween pula akan dijual pada bazaar istimewa dari 18 sehingga 31 Oktober manakala acara Trick or Treat akan diadakan pada 28 Oktober pada jam 7.30 malam.

Aktiviti lain termasuk pertandingan 'Most Gruesome Body Parts' pada 28 Oktober jam 5 petang dan tayangan filem 'The Smurfs: The Legend of Smurfy Hallow' pada hari yang sama jam 8.30 malam.