SKOP
Pengguna Keliru Kegunaan 'Head Puller' Cabut Kepala Ayam
Ayam yang disembelih mengikut hukum syarak sangat penting untuk memastikan ia halal dan selamat dimakan masyarakat Islam. Begitupun, jika peniaga itu menjual kuantiti ayam yang banyak, ia menimbulkan persoalan sama ada proses penyembelihan dilakukan dengan betul.
Terbaru, apa yang menjadi persoalan ramai dalam kalangan netizen di media sosial adalah mengenai ayam yang disembelih menggunakan 'head puller' atau penarik kepala yang menggambarkan ia seolah tidak disembelih dengan betul.
FAHAMI DULU
Penarik kepala adalah alat pemacu yang direka untuk mencabut kepala ayam, trakea dan esofagus setelah leher ayam sempurna disembelih. Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelaskan kesemua syarat penyembelihan hendaklah dipatuhi berpandukan MS1500:2009 untuk pensijilan halal.
Bagi alat penarik kepala, ia dibina daripada bahan tahan karat dan tahan asid yang direka untuk operasi berterusan dalam sistem aliran pemprosesan penyembelihan unggas biasa terutamanya proses ayam dalam skala yang besar.
"Lazimnya, ia bertujuan sebagai proses tambah nilai kepada produk ayam terproses dan ada yang dikategorikan sebagai premium. Perlu difahami bahawa penggunaan 'head puller' sebaik mungkin mengelakkan kehilangan kulit leher terlalu banyak serta memaksimumkan hasil akhir produk ayam yang disembelih.
"Situasi tersebut menyebabkan keadaan ayam sembelihan terproses tersebut seperti kulit lehernya tertarik panjang. Tambahan pula, sifat kulit adalah elastik. Hal ini sering membawa kekeliruan awam di mana produk ayam sembelihan kelihatan seperti tidak disembelih. Namun begitu, ayam atau unggas terproses yang mempunyai logo halal Malaysia telah melalui pemeriksaan yang ketat dari aspek syariah dan teknikal," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tambahnya, masyarakat dinasihatkan agar tidak terburu-buru menghukum sesuatu produk berlawanan dengan hakikat sebenarnya tanpa mempunyai maklumat yang tepat, penelitian yang mendalam dan pemahaman yang jelas mengenai sesuatu isu. Perlu difahami, matlamat tidak menghalalkan cara.
Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai rumah sembelihan ayam yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia, oranga ramai boleh melayari direktori halal di www.halal.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar, myjakim.
Must-Watch Video