Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Penternak Kehilangan RM1 Juta Dalam Sekelip Mata

K. Mala
21/06/2017 04:53 MYT

Dalam sekelip mata seorang penternak langsung tidak menyangka akan mengalami kerugian lebih RM1 juta selepas 73,000 anak ayam dipercayai baru berusia tiga hari rentung dalam kebakaran reban yang berlaku, kelmarin.

Kejadian terbabit dilaporkan berlaku di Tanjung Sembrong, Yong Peng, Johor sekitar jam 7 pagi dan kebakaran dipercayai berlaku berpunca apabila satu daripada tong silinder gas oksigen yang digunakan mengalami kebocoran sebelum meletup.

Penternak berusia 50 tahun itu yang sudah lebih 20 tahun mengusahakan perniagaan ternakan tersebut melahirkan perasaan sedih memikirkan nasib yang menimpanya sehingga terpaksa menanggung kerugian yang besar. Namun, tiada sebarang kemalangan jiwa mahu pun kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Mohd Asroy Mohd Yahaya, pihak bomba menerima panggilan sekitar pukul 7.40 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan sembilan anggota dengan dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Air Hitam.

Pihak bomba berjaya mengawal api kira-kira jam 8 pagi dan pihaknya turut menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kejadian yang memusnahkan reban ayam setinggi dua tingkat itu.

#Tragedi #Tragedi