Dua tahu lalu, platform media sosial Snapchat memperkenalkan cermin mata ‘hipster’ yang mampu merekod video selama 30 saat yang boleh dimuat naik terus ke media sosial berkenaan.

Produk terbaru mereka itu laris terutamanya dalam komuniti pengguna Snapchat yang kini mencecah kepada 255 juta pada tahun lalu.

Malah, jumlah cermin mata yang dijual mencapai 150,000 unit dan jualan terbabit dikatakan menjangkau 50 peratus daripada sasaran.

Di sebalik populariti itu, pengguna merasakan keupayaan produk daripada Snapchat ini masih terhad. Paling mengecewakan, kaca mata ini hanya boleh merekod video maksimum selama 30 saat.

Kekurangan ini memaksa pengguna untuk mencari cermin mata yang lebih canggih berbanding Snapchat.

KEUPAYAAN MEREKOD LEBIH LAMA

Kekurangan pada Snapchat membolehkan syarikat lain menghasilkan produk lebih hebat.
Berita baik untuk anda yang mungkin mencari teknologi yang hampir sama, sebuah syarikat ‘skateboard’ iaitu Acton dikatakan bakal mengeluarkan cermin mata terbaru yang lebih hebat!

Mereka bakal melancarkan sebuah kaca mata pintar yang dilengkapi sensor 8 megapixel (MP) yang mampu merekod video sehingga 40 minit dalam definasi tinggi (HD).

Sesuai dengan penggunaan cermin mata, kamera yang digunakan juga dilengkapi sudut lebar 120 darjah. Oleh itu, imej atau video yang dihasilkan lebih lebar dan luas.

Paling menarik, anda juga berupaya memuat naik gambar atau video serta strim secara langsung terus kepada media sosial anda seperti Facebook atau YouTube.

Dengan memori 4GB dan bateri yang besar, ia mampu merekod rakaman berterusan sehingga hampir 2 jam!

HARGA 'LEBIH MAHAL'

Cermin mata ini dijual pada harga AS$199 (RM794) apabila ia akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini.

Harga berkenaan sedikit mahal berbanding cermin mata Snapchat yang dijual pada harga sekitar RM500 ketika ia dilancarkan pada tahun 2016. Namun, fungsinya kini lebih menyakinkan!

Pada anda yang ingin dapat cermin mata ini, bolehlah mula menantikan kehadirannya dalam beberapa bulan saja lagi.